Wednesday, December 8, 2010
Gempar jumpa ikan gergasi
MERSING - Hampir 20 nelayan di Jalan Dato Onn di sini gempar apabila pertama kali terjumpa ikan air tawar seberat 55 kilogram dan sepanjang 1.8 meter dipercayai terdampar di muara Sungai Mersing, kelmarin.
Ikan berkenaan yang dikenali dengan nama Ara Pama dipercayai mati akibat cedera dan tersadai di muara sungai, dekat jeti Lembaga Ikan Malaysia (LKIM).
Seorang saksi warga Myanmar, Auti Htay, 33, berkata, dia menjumpai ikan berkenaan semasa hendak ke botnya kira-kira jam sembilan malam.
Katanya, dia ternampak sesuatu dalam air yang pada mulanya disangkakan buaya.
“Saya melihat objek besar tersadai di tepi muara sungai. Ingatkan buaya, kemudian rakan-rakan saya datang dan menyuluhnya dan terlihatlah ikan ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Auti berkata, ikan itu dijumpai dalam keadaan lemah dan tidak bergerak.
“Saya dan rakan-rakan mengangkat ikan tersebut ke darat dan meletakkannya dalam bekas air batu,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di kilang air batu tempat ikan tersebut ditempatkan mendapati rata-rata nelayan terkejut dengan penemuan ikan gergasi itu.
Salah seorang nelayan, Ariffin Jusoh, 46, berkata, sepanjang hayatnya tidak pernah menjumpai ikan Ara Pama sebesar itu.
“Pertama kali dalam hidup saya melihat ikan sebesar ini. Kalau ikan air masin sudah biasa, tetapi ikan seperti ini belum pernah lagi,” katanya.
Menurutnya, ikan tersebut yang seberat 55 kilogram dan sepanjang 1.8 meter pertama kali dijumpai di Muara Sungai Mersing.
“Bagi penduduk Mersing, ini adalah pertama kali bagi kami semua. Kebanyakan nelayan di sini tidak pernah tertangkap atau terjumpa ikan sedemikian,” katanya.
Menurutnya, ikan itu amat menarik kerana mempunyai kepala berbentuk buaya serta sisik yang cantik.
“Bentuk ikan seperti kelisa, tetapi kepalanya seperti buaya kerana keras. Sisiknya pula berwarna merah,” katanya.
Sementara itu, bagi nelayan pukat tunda, Tan Chai Tuan, 51, dia terkejut apabila diberitahu rakannya berkaitan ikan berkenaan.
“Mula-mula saya tidak percaya, kerana sebelum ini sepanjang saya menjadi nelayan, belum pernah menjumpai ikan air tawar sebesar dan seberat ikan ini.
“Dalam masyarakat Cina, ikan ini dipanggil ikan naga kerana sisik dan kepalanya berbentuk naga,” katanya.
Labels:
gergasi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment