Friday, October 8, 2010

Warga Lubnan mahu Ahmadinejad cekik Israel





2010/10/08

KFAR KILA: Penduduk di selatan Lubnan gembira dengan kunjungan Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, minggu depan bagi melawat kawasan sempadannya dengan Israel. 

“Saya tidak sabar melihat Ahmadinejad hampir dengan kawat berduri dan tunjuk kepada Israel beliau dapat cekik mereka,” kata Abdullah, dari kampung sempadan di sini, yang enggan memberi nama sebenar.
“Boleh anda bayangkan? Beliau akan berdiri kurang beberapa meter dari Israel dan itu amat simbolik,” tambah Abdullah yang mengendalikan restoran di Pagar Fatima, hanya di belakang pagar sempadan antara kedua-dua negara.
Lawatan pemimpin Iran itu ke Lubnan pada 13 dan 14 Oktober ini adalah atas jemputan rakan sejawatannya, Michel Sleiman. 

Hari pertama lawatan rasmi kunjungan itu, lawatan pertamanya ke Lubnan sejak menjadi presiden, dijangka berjalan lancar. 

Pada hari berikutnya, Ahmadinejad dijangka melakukan kunjungan ke selatan ke kawasan kumpulan militan Syiah, Hizbullah, dianggap proksi Iran, yang mencetuskan perasaan tidak senang hati di negara itu. 

Anggota majoriti parlimen pro-Barat Lubnan melabel kunjungan itu sebagai provokasi terutama ketika ketegangan memuncak berhubung laporan belum sah bahawa tribunal disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dijangka mendakwa anggota Hizbullah mengenai pembunuhan Rafiq Hariri pada 2005, bapa perdana menteri sekarang. 
Washington, bersama sekutunya terbabit dalam pertelingkahan panjang dengan Iran berhubung program kontroversi nuklearnya, minggu ini turut melahirkan kebimbangan dengan kunjungan Ahmadinejad, dan Israel menyamakannya dengan ‘tuan tanah besar datang untuk memeriksa hartanahnya.’ 

Hizbullah yang disenarai hitam sebagai organisasi pengganas oleh Amerika, tidak menyediakan perincian lawatan, namun persediaan kedatangan wira itu dilakukan besar-besaran di kawasan dikawal parti militan. 

Poster besar Ahmadinejad bersama mesej alu-aluan ditampal di atas jambatan sepanjang lebuh raya menghala ke lapangan terbang antarabangsa Beirut dan potretnya boleh dilihat di kubu kuat Hizbullah di selatan Beirut. – AFP

No comments:

Post a Comment