SEREMBAN – Seorang bayi perempuan berumur empat hari mati dipercayai diserang kera liar di rumahnya di Taman Happy, dekat sini, semalam. Bayi malang yang belum diberi nama itu ditemui keluarganya di tepi rumah dalam keadaan berlumuran darah dan terdapat kesan gigitan di badan, leher dan kepala. Datuk bayi berkenaan, A Valayuthum, 70, berkata, sebelum kejadian dia bersama isteri dan ibu bayi terbabit berada di dalam rumah. “Kira-kira jam 1.15 tengah hari, saya menjaga cucu yang sedang tidur di ruang tamu, sementara isteri dan ibunya berada di dapur serta bilik air. “Ketika cucu tidur, saya ke dapur untuk minum air. Kemudian, anak saya, V Revathi menjerit menanyakan di mana anaknya selepas melihat bayinya tiada di ruang tamu," katanya ketika ditemui di luar bilik mayat, Hospital Tunku Jaafar (HTJ), dekat sini, semalam. Menurutnya, mereka sekeluarga terus mencari dan menemui bayi terbabit berhampiran pokok bunga di tepi rumah dalam keadaan berlumuran darah. "Kami segera membawanya ke HTJ tetapi bayi berkenaan meninggal dunia sebaik tiba di hospital," katanya. Sementara itu, bapa bayi terbabit, V Naru, 29, yang bekerja pemandu lori berkata, dia tidak berada di rumah ketika kejadian berlaku. “Saya mengetahuinya selepas mendapat panggilan daripada isteri beberapa minit selepas kejadian. “Saya bergegas ke hospital untuk melihat keadaan anak namun dimaklumkan pihak hospital bahawa anak saya sudah meninggal dunia,” katanya. V Naru berkata, dia sedih kerana bayi itu adalah anak sulungnya selepas setahun mendirikan rumah tangga. “Anak saya baru saja dilahirkan Ahad lalu tetapi dia ‘pergi’ hari ini (semalam) sebelum sempat mendaftarkan namanya. “Lebih menyedihkan melihat dia ‘pergi’ dalam keadaan menyayat hati,” katanya. Menurutnya, terdapat sekumpulan kera liar di kawasan rumahnya di Taman Happy, dekat sini, yang sering mengganggu penduduk. “Sebelum ini, Ikatan Relawan Rakyat (Rela) menembak mati beberapa kera tetapi sejak dua bulan ini, binatang itu masih kelihatan di kawasan ini," katanya. |
Friday, October 8, 2010
Bayi mati tragis digigit kera liar
Labels:
kera
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment