Friday, October 8, 2010

Lagi 60 warga emas pulangkan semula wang ehsan





2010/10/08

BALIK PULAU: Seramai 60 lagi warga emas yang menerima wang ehsan sebanyak RM100 daripada kerajaan negeri, hari ini bertindak memulangkan semula wang itu kerana sumbernya diragui mereka. 

Antara mereka ialah Abdullah Aziz, 61, seorang pesara polis yang berkata tindakan kerajaan negeri memberi wang hasil perjudian iaitu daripada kegiatan Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang kepada warga emas adalah sesuatu yang memalukan.
"Tindakan kerajaan negeri itu adalah bertentangan dengan ajaran Islam kerana ia adalah wang haram dan sebagai seorang yang beragama Islam adalah wajar saya memulangkan semula duit itu.
"Kami (warga emas) rasa tertipu dan memulangkan wang ini kerana tidak mahu bersubahat dan merasakan Ketua Menteri (Lim Guan Eng) tidak menghormati prinsip Islam dan maruah diri kami," katanya yang sangat kecewa dengan perkara berkenaan. 

Beliau yang bertugas sebagai bilal di sebuah masjid di sini berkata demikian pada satu sidang akhbar yang diadakan Paduka Ayahanda Pertubuhan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (Pewaris) cawangan Pulau Pinang, Sabaruddin Ahmad di sini hari ini. 

Turut hadir pada sidang akhbar berkenaan ialah Anggota Dewan Undangan Negeri Teluk Bahang yang juga Ketua Umno bahagian Balik Pulau Datuk Dr Hilmi Yahya. 
Seorang lagi penerima, Lebar Ahmad, 69, berkata tindakan beliau dan rakan- rakannya memulangkan wang berkenaan adalah atas kerelaan hati dan bukan dipaksa oleh mana-mana pihak. 
"Makcik tak mau dah ambik duit macam ni (wang haram) kerana ia akan jadi darah daging dan biarlah susah daripada terima duit haram," katanya. 

Sementara itu, Sabaruddin berkata pihaknya menganjurkan majlis berkenaan bagi memudahkan warga emas di sekitar Balik Pulau menyerahkan semula wang ehsan berkenaan. 

"Majlis ini dibuat bukan atas dasar politik sebaliknya atas permintaan warga emas yang mahu memulangkan semula wang haram itu dan Pewaris juga ingin mengingatkan Ketua Menteri agar lebih peka, prihatin dan menghormati prinsip-prinsip Islam memandangkan beliau kini menjadi pemerintah dalam negara yang majoriti penduduknya beragama Islam," katanya. 

Pada 25 Oktober lalu, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dipetik sebagai berkata, beliau menerima menerima sepucuk surat yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri dan dialamatkan kepada seorang pegawai kelab itu yang memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah menerima RM500,000 baki daripada sumbangan daripada kelab itu. 

Dalam program membasmi kemiskinan yang diadakan kerajaan negeri, pengundi di negeri itu yang berumur 60 tahun ke atas yang telah mendaftar layak menerima bantuan RM100 setahun manakala waris mereka akan menerima RM1,000 selepas kematian mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment