08/10/2010 3:42pm
KUALA LUMPUR 8 Okt. - Portal web berita Malaysiakini.com dan seorang penerbit buku kartun politik hari ini diberi kebenaran oleh Mahkamah Tinggi untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri mengharamkan penjualan dua buku.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Zawawi Salleh memberi kebenaran untuk semakan kehakiman yang dikemukakan oleh kedua-dua pemohon agar perintah pengharaman penjualan kedua-dua buku itu dibatalkan selepas mendengar hujah daripada peguam pemohon, K. Shanmuga, dan Peguam Kanan Persekutuan Noorhisham Ismail yang mewakili responden.
Shanmuga memberitahu pemberita bahawa Noorhisham tidak membantah terhadap permohonan itu dan mahkamah menetapkan 8 November ini untuk pengurusan kes.
Shanmuga mewakili pemohon, MKINI Dotcom Sdn. Bhd. dan syarikat penerbitan, Sepakat Efektif Sdn. Bhd., manakala Noorhisham mewakili Menteri Dalam Negeri dan timbalannya.
Pada 26 Julai lepas, MKINI Dotcom, yang mengendalikan Malaysiakini dan Sepakat Efektif, bagi pihak Zulkiflee SM Anwarul Haque, seorang kartunis politik dengan nama pena ”Zunar”, memfailkan dua permohonan berasingan bagi mencabar keputusan mengharamkan buku bertajuk 1 Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun. - Bernama
No comments:
Post a Comment