Friday, October 8, 2010

Malabar mohon surau bagi aktiviti keagamaan




MALABAR cawangan Kuantan yang dianggotai sebahagian besar masyarakat berketurunan India Muslim mengadakan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PMMK di Dewan Perpustakaan negeri, Kuantan, semalam.


KUANTAN 7 Okt. - Persatuan Malabar Muslim cawangan Kuantan (PMMK) memohon kepada pihak Majlis Ugama dan Adat Resam Negeri Pahang (Muip) untuk membina sebuah surau bagi membolehkan ahli-ahli persatuan itu menjalankan aktiviti dengan lancar.
Setiausaha PMMK, Mustaffar Kamal Moidin berkata, pihaknya akan menghantar permohonan kepada Muip untuk memohon sebidang tanah bagi mendirikan surau tersebut.
Menurut beliau, setakat ini pihaknya telah mengenal pasti tapak yang akan dijadikan surau yang terletak di kawasan Jalan Haji Ahmad, Bukit Sekilau dan akan mengajukan permohonan tersebut untuk tindakan selanjutnya.
"Kami berharap akan mendapat maklum balas yang positif dan impian untuk memiliki sebuah surau sendiri untuk dijadikan sebuah tempat membuat pelbagai perkara kebajikan akan tercapai," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada majlis Jamuan Aidilfitri PMMK di Dewan Perpustakaan Awam negeri, di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Pemangku Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Ghazali Abdul Aziz; Imam Besar Masjid Sultan Ahmad Shah 1, Sarifuddin Osman dan Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman.
Pada majlis itu turut diadakan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim dan golongan yang tidak bernasib baik yang merupakan ahli persatuan tersebut.
Dalam pada itu, Mustaffar Kamal berkata, program yang diadakan setiap tahun itu bertujuan merapatkan silaturahim di antara ahli selain berkongsi pelbagai maklumat serta pengalaman masing-masing yang kesemua ahli berjumlah lebih 3,000 orang.
Katanya, PMMK juga turut aktif menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan seperti bacaan yasin setiap Khamis, mengadakan majlis kesyukuran dan perjumpaan ahli di Madrasah Tarbiatul Islam yang telah beroperasi lebih dua tahun itu.
Katanya, PMMK sentiasa menjaga kebajikan setiap ahlinya dan berusaha untuk membantu setiap golongan yang memerlukan walaupun bukan di kalangan ahli PMMK.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada Muip, JAIP dan agensi-agensi berkaitan yang banyak menyokong dan membantu melancarkan perjalanan persatuan ini demi kesejahteraan semua," katanya.

No comments:

Post a Comment