Friday, October 8, 2010

Zaid sedia undur diri jika Nurul Izzah bertanding




PETALING JAYA – Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim sedia mengundur diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden sekiranya Nurul Izzah Anwar turut bertanding jawatan yang sama. 

Zaid berkata, beliau akan memberi laluan kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dan bersedia ‘melakukan apa yang terdaya’ bagi membantu usaha Nurul Izzah menyertai pucuk pimpinan parti. 

“Saya difahamkan Nurul Izzah berminat bertanding jawatan timbalan presiden memandangkan beliau mendapat pencalonan yang cukup. Saya sedia mengundur diri dan membantu beliau dalam pertandingan ini. 

“Saya percaya, beliau boleh membawa nafas baru ke dalam parti dan boleh menarik lebih ramai ahli yang profesional dan dinamik,” katanya pada sidang media di kediamannya, semalam. 

Menurut Zaid, Nurul Izzah layak bertanding jawatan timbalan presiden dengan tiga pencalonan manakala dirinya mempunyai ‘empat atau lima’ pencalonan untuk jawatan presiden. 

Sebelum ini, Nurul Izzah mengumumkan hasrat bertanding naib presiden pada pemilihan parti November ini selepas mendapat pencalonan yang menggalakkan. 

“Sekiranya Nurul Izzah bersetuju bertanding jawatan timbalan presiden, saya bersedia untuk tidak bertanding mana-mana jawatan jika boleh membantu menguatkan kedudukannya. 

“Bagaimanapun, saya tidak menolak kemungkinan bertanding jawatan lain sekiranya diperlukan untuk memastikan kemenangan beliau,” katanya. 

Selain mendapat pencalonan untuk jawatan timbalan presiden, Zaid turut mendapat tiga pencalonan untuk jawatan presiden di belakang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Dalam pada itu, Zaid terus membiarkan spekulasi sama ada beliau akan bertanding jawatan presiden atau tidak pada pemilihan parti. 

“Mungkin ya, mungkin tidak,” katanya sambik tertawa besar.

No comments:

Post a Comment