Thursday, January 27, 2011

Kuan Yew takut negara jiran





KUALA LUMPUR 26 Jan. - Dakwaan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew bahawa terdapat usaha antara Malaysia dan Indonesia untuk menjejaskan perniagaan pelabuhan di negara itu adalah tidak berasas.
Malah dakwaannya mengenai kewujudan kempen dari luar untuk menjatuhkan negara tersebut kerana dianggap sebagai penceroboh menggambarkan ketakutan beliau kepada negara-negara jiran yang semakin membangun.
Ketua Kluster Politik Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, dakwaan demi dakwaan yang dilakukan oleh Kuan Yew itu adalah disebabkan negara tersebut sentiasa dibelenggu oleh mentaliti terkepung.
Katanya, Kuan Yew bijak memainkan isu ancaman dari negara luar untuk mencipta satu situasi di mana rakyat berasa terancam dan bersatu padu menyokong kerajaan Singapura di dalam apa juga keadaan sekali gus mengukuhkan kedudukannya di dalam senario politik republik itu.
"Kuan Yew bijak memainkan isu ancaman dari luar walaupun sebenarnya negara itu yang menjadi ancaman kepada negara-negara jiran kerana sering tidak sensitif dengan pelbagai isu membabitkan negara di sekelilingnya.
"Kuan Yew juga mempunyai pandangan skeptikal terhadap jiran seperti Malaysia dan Indonesia serta sering memandang rendah terhadap negara-negara ini," katanya kepadaUtusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Kuan Yew menerusi buku Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going mengenai wujudnya kempen dari luar untuk menjatuhkan negara itu kerana dianggap sebagai penceroboh selain menurut beliau terdapat usaha antara Malaysia dan Indonesia yang mahu menjejaskan perniagaan pelabuhan negara berkenaan.
Menurut Mohamed Mustafa, dakwaan yang dibuat itu juga membuktikan bahawa Kuan Yew sebenarnya takut dengan negara jiran terutamanya Malaysia yang semakin pesat membangun.
Katanya, pembangunan Malaysia menjadikan persaingan terutamanya dalam bidang membabitkan perdagangan semakin sengit dan Singapura amat bimbang mengenainya.
"Bagaimanapun Kuan Yew tidak boleh melihatnya sebagai ancaman kerana setiap negara jiran juga berhak untuk maju dan membangun seperti Singapura," jelasnya.
Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling pula berkata, Kuan Yew sememangnya takut dengan Malaysia dan Indonesia kerana beliau pernah membuat kenyataan bimbang dengan kebangkitan rumpun Melayu di rantau Asia Tenggara.
Katanya, kenyataan tersebut keluar daripada mulut Kuan Yew sendiri pada era pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
"Kuan Yew sebenarnya bimbang dengan pengembangan kuasa Melayu Nusantara seperti yang pernah dinyatakannya sebelum ini.
"Selain itu, kebangkitan Malaysia dalam sektor perdagangan dan pelaburan telah menyebabkan Kuan Yew semakin bimbang dan menjadi faktor utama beliau menjadikan Malaysia sebagai ancaman kepada Singapura," katanya.
Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan berkata, dakwaan-dakwaan Kuan Yew tidak perlu diberikan perhatian terlalu serius kerana beliau telah menggunakan strategi yang sama sewaktu menjadi Perdana Menteri Singapura.
"Dakwaan-dakwaan Kuan Yew tidak berasas. Kita boleh memberi perhatian terhadap dakwaan tersebut tetapi jangan terlalu serius.
"Ini kerana ia merupakan strategi yang digunakan untuk mendapatkan sokongan rakyat dan mengukuhkan penguasaan politiknya sama seperti semasa beliau menjadi Perdana Menteri dahulu," katanya.

No comments:

Post a Comment