KAMPUNG JAWA – Program penyerahan bantuan barangan keperluan dari rumah ke rumah keluarga miskin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, baru-baru ini dikejutkan dengan penemuan tiga kanak-kanak masih kecil yang ditinggalkan bersendirian di sebuah rumah usang di Kampung Serinkin, di sini.
Kanak-kanak malang itu, Nor Farah Ain, 8, Nor Safiah Alisa, 6, dan Mohd Iman Nur Hakim berusia lima tahun terpaksa ditinggalkan dalam pondok usang itu sendiri kerana bapa mereka, Othman Senin, 40, keluar bekerja.
Lebih menyayat hati, ketiga-tiga beradik itu ketika ditemui belum menjamah sebarang makanan. Mujur kehadiran Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Rompin, Mohd Zaidi Othman bersama rombongannya yang membawa bekalan makanan seperti biskut ke rumah terbabit menceriakan tiga beradik itu.
Tinggalkan anak demi sesuap nasi
Othman berkata, anak-anaknya sudah biasa tinggal bersendirian di rumah termasuk anak sulungnya, Amirul Ashraf, 12, memandangkan dia terpaksa keluar mencari duit bagi menampung perbelanjaan harian keluarga.
Menurutnya, sebagai seorang bapa, perasaan bimbang terhadap keselamatan anak-anak tetap ada lebih-lebih lagi kesemua anaknya masih kecil dan memerlukan perhatian serta kasih sayang secukupnya.
Katanya, dia tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya melakukan kerja-kerja kampung untuk menyara kehidupan, tambahan pula tiga anaknya sudah bersekolah.
“Nasib saya tidak seperti orang lain dan selalunya mereka (anak-anak) faham dengan keadaan saya. Mereka terpaksa tinggal di rumah ini sendiri jika saya terpaksa pulang lewat ke rumah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Dakwa isteri larikan diri
Othman mendakwa, isterinya didakwa melarikan diri dipercayai tidak tahan hidup susah dengannya sejak empat tahun lalu iaitu ketika anak bongsu mereka, Mohd Iman masih berusia setahun.
Katanya, sejak itu, dia terpaksa memikul tugas sebagai seorang ibu seperti mencuci baju, memasak dan menyiapkan persekolahan anak-anak.
“Isteri saya pernah melawat anak-anak setahun lalu dan sempat menghulurkan RM50 untuk perbelanjaan, namun sejak itu dia tidak pernah lagi menjejakkan kaki di pondok ini.
“Saya reda dengan ketentuan ini dan sebagai manusia biasa, saya terpaksa tempuhi kerana bagi saya anak-anak adalah harta yang tidak boleh dijual beli atau ditukar ganti kerana mereka adalah anugerah Allah,” katanya.
Kecewa permohonan PPRT tiada dalam senarai
Othman berkata, dua tahun lalu, dia pernah memohon untuk menjadi peserta Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), namun kecewa setelah mendapati namanya tiada dalam senarai permohonan.
“Saya orang Janglau dan tinggal di Kampung Serinkin, tetapi hak saya dinafikan hingga nama saya tidak terdapat dalam senarai pemohon bantuan rumah kerajaan,” katanya.
Menurutnya, apa yang menyedihkan, rumah yang diduduki sekarang tidak sempurna kerana bumbungnya bocor sana sini, malah tidak mempunyai tandas hingga dia terpaksa mengambil air perigi di tepi rumah untuk keperluan harian.
“Rumah saya tidak ubah seperti zaman sebelum merdeka kerana masih ada tandas yang hanya ditutupi dengan rimbunan pokok serta zink-zink karat di tepi perigi berkenaan,” katanya.
Justeru, dia merayu kepada kerajaan supaya meluluskan segera permohonannya untuk mendapatkan rumah PPRT kerana sudah tidak sanggup lagi tinggal di situ yang dikelilingi semak samun.
“Saya bimbang jika anak-anak tinggal bersendirian, lebih-lebih lagi kawasan belakang rumah semak, kemungkinan ada binatang berbisa yang boleh mengancam nyawa saya anak beranak,” katanya.
Pemuda bawa masalah kepada pihak berwajib
Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, masalah yang dihadapi keluarga terbabit perlu dipandang serius oleh pihak berwajib termasuk menyediakan keperluan rumah PPRT yang lebih selesa untuk mereka.
Katanya, perkara itu akan dibawa kepada agensi kerajaan berkaitan termasuk memaklumkan nya kepada Unit Pembangunan Luar Bandar (PLB) Pejabat Tanah dan Daerah Rompin serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Rompin.
“Kami berasa sedih melihat keadaan kanak-kanak ini yang hidup dalam serba kekurangan, bagaimanapun kami akan cuba membawa perkara ini kepada agensi berkaitan untuk tindakan susulan,” katanya.
No comments:
Post a Comment