Friday, January 14, 2011

Penduduk minta jambatan rosak dibaiki segera


Keadaan jambatan Tebing Merah yang rosak akibat banjir mendatangkan kesukaran kepada penduduk kampung.


TANAH MERAH 13 Jan. - Hampir 1,000 penduduk di empat buah kampung dekat sini mengalami kesukaran untuk ke Rantau Panjang apabila Jambatan Tebing Merah yang merupakan penghubung utama, rosak teruk dan menanti masa untuk runtuh disebabkan banjir.
Kampung terlibat ialah Kampung Bukit Kechik, Banggol Petai, Kuala Kapok dan Tebing Merah, kesemuanya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tuku.
Seorang penduduk, Ibrahim Mahmud, 59, berkata, akibat ditenggelami banjir baru-baru ini, tanah sekitar jambatan tersebut menjadi lembut dan berlaku mendapan kira-kira 30 sentimeter.
Katanya, hujan lebat juga menyebabkan bahagian tengah jambatan pecah sehingga menjadi senget serta mengancam keselamatan penduduk yang saban hari melaluinya untuk ke Rantau Panjang dan kawasan sekitar.
"Keadaan jambatan itu amat bahaya terutama kepada kanak-kanak yang berulang-alik ke sekolah berdekatan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Ibrahim sehubungan itu meminta kerajaan negeri segera membaiki kerosakan jambatan tersebut bagi mengelak kejadian buruk.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Noor Hassan, 51, berkata, jambatan tersebut menjadi pilihan utama penduduk kampung kerana ia memendekkan perjalanan mereka ke Rantau Panjang berbanding laluan biasa.
"Jika menggunakan laluan biasa, penduduk mengambil masa lebih sejam untuk ke Rantau Panjang berbanding hanya 30 minit jika melalui jambatan tersebut," katanya.
Menurutnya, walaupun keadaan jambatan itu sudah tidak selamat, penduduk termasuk kanak-kanak sekolah terpaksa juga menggunakannya kerana ingin cepat sampai ke destinasi dituju.
Sementara, seorang penduduk, Roslan Seman, 44, berkata, jambatan tersebut perlu dibaiki segera kerana ia juga menjadi laluan penting penduduk kampung berkenaan untuk ke kebun getah berhampiran.
"Walaupun bimbang, penduduk terpaksa juga guna dan kita bimbang, jambatan ini mungkin runtuh atau dihanyutkan bah sekiranya hujan lebat dan banjir berlaku kembali," katanya.
Gesaan sama disuarakan oleh penduduk, Mohd. Zaid Hanafi, 45, bagi mengelak kejadian buruk terutama di kalangan kanak-kanak yang berulang-alik ke Sekolah Kebangsaan Banggol Petai, tidak jauh dari kampung terlibat.
"Jambatan ini terletak di kawasan sunyi dan jika berlaku kemalangan, ia lambat diketahui oleh orang lain. Dalam keadaan sekarang, penduduk hanya minta supaya jambatan ini dibaiki segera," katanya.

No comments:

Post a Comment