KUALA LUMPUR: Seorang warga emas tinggal sebatang kara di sebuah rumah pusaka milik ibunya tanpa bekalan air dan elektrik selepas permohonannya untuk mendapatkan rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) tidak diluluskan.
Wanita berkenaan, Saedah Mohd Nor, 59, tinggal di kawasan setinggan lama di Kampung Pantai Dalam, di sini, seorang diri sejak dua tahun lalu.
Keadaan rumahnya sungguh uzur apabila atapnya sudah bocor dan sering dimasuki air apabila hujan membuatkan lantai rumahnya sering basah.
Saedah berkata, ketiadaan bekalan air menyebabkan dia terpaksa mengangkut air dari perigi di bawah bukit yang jauhnya kira-kira 300 meter.
“Walaupun sudah uzur dan mempunyai penyakit darah tinggi serta kencing manis, saya tetap menggagahkan diri mengangkut air dari perigi untuk kegunaan harian.
“Setiap hari saya akan mandi dan membasuh baju di perigi berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, dia selesa tinggal di rumah itu walaupun tanpa sebarang kemudahan, tetapi berharap pihak berkenaan meluluskan permohonannya mendapatkan sebuah rumah.
Katanya, hidupnya kini hanya bergantung kepada wang pencen bulanan arwah suaminya, Mohd Faiz Idris, 60, yang meninggal dunia akibat kemalangan enam tahun lalu dan bantuan Baitulmal masing-masing RM400 dan RM300.
“Dengan duit itu, saya gunakan untuk membeli makanan kerana tidak boleh memasak berikutan tiada dapur.
“Saya terpaksa ikat perut dengan makan sekali sehari kerana tidak mahu membazir wang,” katanya yang tidak mempunyai anak dan merancang untuk tinggal di rumah orang tua sekiranya tidak mendapat rumah.
No comments:
Post a Comment