Saturday, January 15, 2011

Melayu Singapura jawab Mahathir

Hujah pedas dan luncas Dr Mahathir tidak berasas
SAYA rasa tercabar mengikuti ulasan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad (BH, 8 Januari).
Menurut kata-katanya yang tidak berasas: Melayu Singapura terpinggir dan tertinggal.
Inilah hujah kegemarannya yang pedas dan luncas setiap kali mempersoalkan masalah yang menghambat Melayu Malaysia yang belum lagi terpinggir pada logika Dr Mahathir. Kekerapan ungkapan yang menjadi sandarannya ialah menegaskan bahawa Melayu Singapura terpinggir sehingga akhir dunia.
Sungguh gagah menggunakan Melayu Singapura sebagai contoh. Tapi nasib orang Melayu di rantau lain tidak pula beliau sentuh. Inilah bencana girang yang tidak terkawal lantaran terhanyut dek sanjungan dan tepukan yang dimahukan semasa berpidato, lantas melatah tanpa fikir.
Terbuai dengan populariti di alam siber dan blog, teguran menjadi berkesan jika dengan niat ikhlas tetapi jika diselaputi dengan rasa iri hati dan dendam, ia menjadi tidak keruan.
Logiknya, bukan parti-parti pembangkang sahaja penyebab dilema Melayu Malaysia, malah budaya memberi darjah-darjah penghormatan yang tidak tepat itu bukan menyatukan tetapi mengasingkan.
Sedar atau tidak, realitinya ialah sudah ada Melayu yang tersingkir, terpinggir, tercicir di tanah lahir Dr Mahathir.
Jangan marah kalau saya nyatakan begini:
Melayu Singapura mendaki tanpa menagih Ć¢€˜subsidiĆ¢€™,
Islam bukan agama rasmi, tapi ibadah kami tidak terbasmi,
Pantauan agama di sini tidak muflis, sebab kita ada Muis;
Kita tidak kontang jenayah, tapi yang ditugaskan beramanah.
Korupsi di sini wujud, tetapi tahapnya tidak mengejut,
Sumbang mahram itu keji, dahsyat lagi buang bayi.
Mat Rempit bukan hambatan, tabiat lepak bukan amalan.
Haji Sallim Haji Ahmad


Belajar maju dari Melayu Singapura
SAYA, sebagai rakyat Singapura berbangsa Melayu, ingin mengulas kenyataan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkaitan orang Melayu Singapura.
Kenyataan beliau mengenai orang Melayu Singapura adalah tidak benar sama sekali apabila beliau menyatakan kami dipinggirkan dan ketinggalan. Saya berharap beliau janganlah cuba memburuk- burukkan orang lain hanya untuk kepentingan diri sendiri, tambahan lagi sesama Muslim.
Kami Melayu Singapura hidup dengan selesa dan 'duduk sama rendah, berdiri sama tinggi'. Ada kebebasan dalam hal agama dan pelajaran orang Melayu juga setaraf dengan penduduk masyarakat lain. Selain itu, kehidupan kita juga terjamin dan mampu memiliki rumah sendiri hasil titik peluh kita.
Persatuan Melayu setempat juga memainkan peranan penting memajukan orang Melayu dan tidak lupa juga dengan sumbangan para pemimpin Melayu yang sentiasa bertungkus-lumus.
Presiden pertama kita, Encik Yusof Ishak, juga orang Melayu dan ramai juga anak Melayu yang berpendidikan tinggi dan memegang jawatan tinggi. Ramai juga berpangkat tinggi dalam pasukan tentera dan polis.
Tun Dr Mahathir sepatutnya menasihatkan orang Melayu Malaysia agar belajar daripada orang Melayu Singapura bagaimana boleh maju. Saya berharap kenyataan beliau akan membakar semangat orang Melayu setempat untuk terus maju.
Eusope Musawa
-cyberita

No comments:

Post a Comment