ALOR GAJAH 18 Jan. - Seorang ibu tunggal bertekad untuk tabah meneruskan kehidupan biarpun dalam serba kekurangan demi membesarkan lima anaknya termasuk seorang anak gadis yang menghidap penyakit tulang rapuh (SLE).
Norshila Abdul Rahman, 45, yang kini hidup berseorangan setelah berpisah dengan bekas suami sejak empat bulan lalu terpaksa hidup berdikari bekerja sebagai pembantu tukang masak dengan pendapatan RM560 sebulan.
Melalui pendapatan yang tidak seberapa itu, Norshila perlu menguruskan perbelanjaan tiga anaknya yang masih bersekolah termasuk kos rawatan bulanan Norain Akma Jamaludin, 17, yang menderita penyakit SLE sejak berusia 14 tahun.
Ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Taman Kelemak Perdana, Paya Datuk di sini baru-baru ini, Norshila berkata, pendapatannya ketika ini tidak cukup bagi menampung perbelanjaan persekolahan anak-anaknya termasuk seorang yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.
''Duit tambang bas untuk membawa Norain mendapatkan rawatan perubatan di Hospital Melaka setiap minggu juga tidak cukup, itu belum ditambah dengan kos ubat dan perbelanjaan lain," katanya.
Namun, katanya, mujurlah bekas suami ada membantu dalam memberi wang perbelanjaan persekolahan tiga anaknya.
Menurut Norshila, dua anaknya kini yang berusia 21 dan 18 tahun sedang berusaha mencari pekerjaan bagi membantu meringankan kesempitan hidup keluarga mereka.
''Saya bimbang dengan keadaan kesihatan Norain yang kerap tidak sihat sejak kebelakangan ini sehingga menjejaskan pencapaian akademiknya.
''Namun saya bangga dengan anak saya itu kerana biarpun sering tidak sihat dan tidak cukup wang belanja sekolah, Norain tetap bersemangat untuk meneruskan persekolahan seterusnya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akhir tahun ini," katanya.
Menurut Norshila, dia amat mengharapkan tiga anaknya itu diberi bantuan biasiswa pendidikan bagi menampung keperluan sekolah mereka yang ketika ini tidak mencukupi khususnya kepada Norain dan Aidil Ashraf, 12.
''Pendapatan sekarang tidak cukup untuk menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak, ia belum ditambah lagi dengan keperluan belanja harian di rumah," katanya.
Menurutnya, dia berharap agar kesempitan hidup yang dialaminya itu mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya daripada agensi kerajaan berkaitan terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Alor Gajah memandangkan dia mempunyai seorang anak penyakit SLE selain statusnya sebagai ibu tunggal.
Norshila juga berharap orang ramai yang bersimpati dengan nasib dia sekeluarga agar dapat menghulur bantuan menerusi alamatnya di TKP 12, No. 1978, Taman Kelemak Perdana, Paya Datuk, Alor Gajah atau hubungi 012-9034241 atau menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional 04102-29-00004011-3.
No comments:
Post a Comment