Wednesday, January 19, 2011

Polis ambil keterangan Ku Li hari ini


KOTA BHARU 18 Jan. - Polis negeri akan mengambil keterangan daripada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (gambar) berhubung kenyataannya mempersoalkan pelantikan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebelum ini.
Menurut sumber, polis dijangka mengambil keterangan tersebut di pejabat Ketua UMNO Gua Musang itu di Kuala Lumpur kira-kira pukul 4 petang esok.
''Keterangan itu dijangka diambil oleh seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Bagaimanapun sumber itu mempertikaikan tindakan polis tersebut yang disifatkan double standard apabila pada masa yang sama tidak mengambil keterangan daripada orang tertentu yang secara terang-terang menyentuh hal berkaitan istana Kelantan dan Sultan Ismail Petra.
"Banyak fitnah dan dakwaan terhadap Sultan Ismail tidak diambil tindakan biarpun laporan telah dibuat. Tetapi mengapa polis ambil tindakan terhadap Tengku Razaleigh yang merupakan keluarga terdekat apabila beliau bercakap sesuatu yang benar mengenai Perlembagaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri berhubung pelantikan dan pemecatan sultan," katanya.
Kemelut yang melanda Istana Kelantan sebelum ini menyaksikan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menarik balik pingat dan darjah kebesaran termasuk Darjah Kerabat (DK) yang dikurniakan kepada tokoh politik negara itu pada Disember lalu. Darjah Kerabat dikategorikan sebagai pingat tertinggi istana dan dikhaskan kepada keluarga diraja.
Pengumuman penarikan balik darjah kebesaran tersebut yang berkuat kuasa 2 Disember lalu diumumkan oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mohd. Aiseri Alias.
Tengku Razaleigh dalam reaksinya menyifatkan tindakan Sultan Muhammad V menarik darjah kebesaran yang dikurniakan oleh Sultan Kelantan terdahulu, tidak mendatangkan sebarang masalah kepadanya.
Malah beliau menganggap apa yang berlaku itu bukan sesuatu yang penting kerana baginya melakukan perbuatan baik selagi hayat masih ada melebihi segala-galanya.
Dalam reaksinya itu juga, Tengku Razaleigh menegaskan, Sultan Ismail Petra merupakan Sultan Kelantan yang sah dan walaupun gering, masih mempunyai keupayaan menjalankan tugas-tugas sebagai sultan.
Beliau turut menegaskan, berdasarkan pemahamannya terhadap perlembagaan sedia ada, pelantikan sultan baru hendaklah disebabkan tiga perkara iaitu sultan terdahulu mangkat, berhenti menjadi sultan atau meninggalkan negeri lebih 12 bulan tanpa sebab.

No comments:

Post a Comment