HARGA ikan kini lebih mahal daripada daging dan ayam. |
SEKILOGRAM ikan jenahak dijual pada purata harga RM17 di beberapa pasar borong sekitar Kuala Lumpur sepanjang minggu lalu. Ikan kerapu bunga pula sekitar RM15 sekilogram. Sekilogram ikan merah pula dijual pada harga RM16.
Meninjau harga makanan laut yang didaratkan di kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang direkodkan di laman sesawang Ikan Online pula, harga-harga itu tidak jauh berbeza.
Penjualan di peringkat runcit bagaimanapun menunjukkan sedikit peningkatan di antara RM2 hingga RM5 pada kadar purata berbanding harga di atas.
“Harga ikan dan makanan laut mentah di pasaran pun sudah mahal. Jadi kami tak dapat elak daripada meletakkan harga yang lebih tinggi setelah siap dimasak.
“Kami beli kerapu, jenahak dan siakap, contohnya, pada harga mencecah RM20 sekilogram.
“Itu pun harga yang dibeli terus dari pemborong tetap,” ujar pemilik dan pengusaha restoran makanan laut Aroma Ikan Bakar, Mohd. Naim Omar, 46.
Ikan bakarMalah, harga udang mentah juga, kata Naim, pernah mencapai RM60 sekilogram, khususnya pada musim perayaan.
Kadar purata untuk udang harimau mentah pada minggu lalu di pasar borong sekitar Kuala Lumpur sahaja hampir mencapai RM49 sekilogram.
Biarpun harga makanan laut memang diketahui mahal, restoran yang beroperasi sejak 2004 dan terletak di kawasan yang agak terpencil di Pantai Jeram, Kuala Selangor, itu tidak pula menunjukkan risiko untuk ‘bungkus’ dalam masa terdekat.
“Saya seringkali terkejut ketika mendapat komen daripada pelanggan. Saya sangka mereka mahu mengatakan caj yang kami kenakan mahal, tetapi yang sebaliknya kami terima.
“Sehingga hari ini kami sudah dapat melihat coraknya. Pelanggan dari bandar akan mengatakan caj kami murah manakala pelanggan dari luar bandar akan mengatakan harga kami mahal. Jadi semuanya terpulang kepada pelanggan,” kongsinya.
Pengarah restoran berasaskan makanan laut, Sekinchan Ikan Bakar, Liza Ruzaini Mohd. Husin, pula membuat perbandingan antara harga ikan bakar di restorannya dengan yang dijual di gerai.
“Harga ikan bakar di gerai pun mencecah RM9 per 100 gram. Sedangkan di restoran kami, pelanggan bukan sekadar dapat makan ikan bakar dan makanan laut yang lain yang segar, tetapi dapat menikmatinya dalam suasana yang selesa, sesuai dengan konsep keluarga yang dilengkapi Wi-Fi dan Astro, serta sos yang sedap,” kata Liza.
Jika diperhatikan, harga bagi 100 gram ikan kerapu, siakap dan merah yang siap dibakar di Sekinchan Ikan Bakar hanyalah RM7. Ikan kembung pula dijual di antara RM6 hingga RM10, begitu juga untuk udang kertas.
Import
“Ketam kami juga hanya RM10 seekor. Di kedai mamak, seekor ketam dijual RM13,” sambungnya. Sekinchan Ikan Bakar, jelas Liza, menggunakan sumber laut tempatan.
“Makanan laut tempatan lebih manis rasanya berbanding yang diimport dari negara jiran seperti Thailand, Burma dan Bangladesh kerana ia tidak dibekukan.
“Kami juga menawarkan ikan segar dan bukan yang disejukbekukan seperti di sesetengah restoran.
“Kami tidak meletakkan sebarang peti sejuk beku di restoran kami. Sebaliknya sumber bahan mentah kami dihantar setiap hari dari Sekinchan,” dedahnya.
Melalui pengalamannya sendiri merasa ikan bakar di Langkawi, Kedah, Liza mengakui harga yang terpaksa dibayar mahal.
“Harga ikan bakar mereka mencecah RM10 setiap 100 gram. Tetapi rasanya sedap dan suasananya selesa, jadi saya tidak kisah dan cukup berpuas hati.
“Kalau rasa tidak sedap, bayar sedikit pun orang marah. Tetapi kalau rasanya sedap bayar lebih sedikit pun, sesetengah orang tidak kisah,” sambung anak jati Sekinchan, Selangor itu.
Pengarah Bahagian Pemasaran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Mohari Mohamad Tamin, menerangkan harga ikan dan makanan laut yang lain yang didaratkan di jeti, rata-ratanya 40 peratus lebih rendah harganya berbanding harga pasaran.
“Kalau bahan mentah itu melalui peraih terlebih dulu, harga itu akan meningkat lebih tinggi. Peningkatan itu sebenarnya berlaku berikutan kos pengangkutan yang tinggi selain kos upah tenaga buruh, pembinaan bot, kaedah penangkapan, teknologi yang digunakan, enjin, dan minyak yang mahal,” ulas Mohari.
Pada musim tengkujuh, apabila ikan sukar diperolehi dan musim perayaan yang melibatkan kepercayaan yang berkaitan ikan, akan turut mengangkat nilai makanan laut itu.
“Pada Tahun Baru Cina, harga ikan bawal putih akan mencanak sehingga mencapai harga tidak munasabah. Jika lazimnya harga ikan itu ialah sekitar RM20 sekilogram, ia boleh mencecah RM100 sekilogram.
“Namun, harga di peringkat runcit atau di peringkat restoran dan kedai makan melibatkan nilai tambah yang berbeza.
“Antaranya termasuklah mempertimbangkan sama ada sumber datang daripada air tawar atau air masin, liar atau diternak, dibekalkan dalam keadaan masih hidup atau sudah mati, dari perairan tempatan atau import dan sebagainya,” jelas Mohari.
No comments:
Post a Comment