KARAI – Dihimpit kemiskinan hidup tanpa pengetahuan luas menyebabkan tiga beradik, di sini hidup tanpa mempunyai sijil kelahiran walaupun secara dasarnya anak tempatan.
Hadzrat Nizarmudin Nasruddin, 15, Mohd Haziq, 6, dan Iman Haqasah, 10 bulan tinggal bersama ibunya, Zuraida Mohd Halim, 38. setelah ayah mereka menghilangkan diri.
Zuraida berkata, mereka sekeluarga sebelum ini, menetap di Kuala Krai, Kelantan.
Menurutnya, keadaan dirinya yang kurang arif mengenai perihal urusan pendaftaran menyebabkan tiga anaknya terbiar tanpa sijil kelahiran.
“Saya mempunyai lima anak, hanya dua yang bersekolah, tiga yang lain tidak mempunyai sijil kelahiran, semua dilahirkan di Kelantan kecuali yang bongsu, dia dilahirkan di sini,” katanya.
Zuraida berkata, dia tidak berjaya menjejaki suaminya yang menghilang ketika mengandungkan anak bongsu.
Menurutnya, dengan bantuan saudara, dia dan anaknya kembali ke kampungnya di Karai.
Dia ditemui ketika lawatan Penyelaras Barisan Nasional (BN) Sungai Siput, R Ganesan dan Ketua Cawangan UMNO Kampung Periang, Ramawi Bakri, di sini.
Zuraida yang bekerja sebagai pembantu kedai makan berharap ada pihak yang prihatin untuk tampil membantu menyelesaikan masalah anak-anaknya.
Menurutnya, anak keempat berusia enam tahun ditinggalkan di Ke�lantan di bawah jagaan nenek.
“Dengan pendapatan sekitar RM15 sehari, saya sedaya upaya membahagikan keperluan mengikut keutamaan, anak sulunglah yang banyak membantu dengan melakukan kerja kampung untuk menyara keluarga kami,” katanya.
Hadzrat ketika ditemui mengakui kadangkala timbul perasaan sedih apabila melihat rakan sebaya berpeluang belajar di sekolah.
Menurutnya, meskipun kini berusia 15 tahun, dia masih belum mengenal huruf.
“Saya juga ingin ke sekolah walaupun sudah terlambat dan sekarang saya hanya mengambil upah membaiki tayar motosikal yang bocor,” katanya.
Sementara itu, Ganesan berkata, pihaknya kini dalam usaha mengumpul maklumat dan data tiga beradik berkenaan bagi membantu proses pendaftaran dilakukan.
“Kita dapati ada dokumen seperti surat perubatan, sijil perkahwinan, pengesahan kelahiran dan rekod kesihatan ibu ada disimpan, ia akan digunakan sebagai rujukan sebelum kita hantar maklumat ini ke Pejabat Pendaftaran Negara (JPN) dengan kadar segera,” katanya.
No comments:
Post a Comment