Saturday, February 12, 2011

Lubang maut ragut satu nyawa




SEBERANG JAYA – Lubang maut. Mungkin itu ungkapan paling sesuai untuk menggambarkan keadaan lubang saluran air di Jalan Sembilang, berhampiran simpang tiga di Tesco Extra, di sini.

Ia dibiarkan berlubang sejak beberapa hari lalu selepas simen yang dibuat untuk menutup lubang itu pecah.

Penduduk, Rashid Md Ali,42, berkata, penutup lubang itu bukan baru sekali dua pecah, tetapi tiga kali hingga menyebabkan satu nyawa melayang tahun lalu berikutan tidak nampak akan lubang berkenaan.

Menurutnya, ia amat merbahaya kepada pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal berikutan lubang itu terletak begitu dekat dengan simpang.

“Keadaan di sini amat bahaya kerana mereka yang hendak membelok ke kiri tidak perasan akan lubang ini terutamanya pada waktu malam kerana jalan di sini gelap. Lampu jalan pula tidak berfungsi dengan baik.

“Tahun lalu, seorang penunggang motosikal maut ketika dalam perjalanan ke hospital selepas motosikal yang ditunggung terperosok ke dalam lubang ini. Kita tidak mahu kejadian sama berulang dan minta pihak berkenaan mengambil iktibar dengan apa yang terjadi dan meletakkan penutup yang lebih kukuh agar ia tidak lagi pecah,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Persatuan Muafakat Kesejahteraan Rakyat Pulau Pinang (PMKRPP) berkata, dalam tempoh setahun sudah tiga kali penutup lubang itu dibaiki dan terbaru dua minggu lalu, tetapi, malangnya ia pecah lagi.

Katanya, hal itu berlaku kerana laluan berkenaan adalah jalan utama dan dilalui lebih dari 1,000 kenderaan setiap hari termasuk bas dan lori.

Tambahan pula, bahan yang digunakan tidak berkualiti, menyebabkan penutup yang hanya dibuat dari simen itu pecah kerana tidak dapat menampung keberatan kenderaan yang lalu di situ setiap hari.

“Saya tidak pasti siapa yang bertanggungjawab menyelenggara saluran air ini, tetapi, berharap ia dapat dibaiki dengan segera. Selain itu, saya berharap kontraktor yang dilantik dapat menggunakan bahan yang lebih kukuh selepas ini supaya ia tidak pecah lagi seterusnya membahayakan nyawa pengguna.

“Begitupun, buat sementara ini, penduduk mengambil inisiatif sendiri dengan meletakkan daun bagi memberi amaran kepada pengguna bahawa adanya lubang di sini,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment