Wednesday, February 9, 2011

Kes saman Khalid terhadap Utusan didengar 25 Mei






KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi menetapkan 25 Mei ini untuk mendengar saman yang difailkan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Berhad kerana menerbitkan kata-kata fitnah terhadapnya 11 September 2009.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr Prasad Sandosham Abraham menetapkan tarikh itu selepas disebut semalam.

Dalam saman yang difailkan tahun lalu, Khalid dari Pas, menamakan Ketua Pengarang Kumpulan akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia, Datuk Aziz Ishak dan penerbit, pencetak akhbar Utusan Malaysia dan juga Mingguan Malaysia sebagai defendan.

Beliau mendakwa pada 11 September 2009, Aziz, selaku Ketua Pengarang Kumpulan akhbar :Mingguan Malaysia:, dengan niat jahat, membenarkan penerbitan dan pencetakan kata-kata fitnah terhadapnya di muka depan akhbar itu.

Beliau berkata, kata-kata dalam artikel bertajuk “Zulkifli bidas “Pak Janggut” itu adalah secara langsung atau tidak langsung merujuk kepadanya meskipun namanya tidak disebut dalam kata-kata itu.

Khalid mendakwa kata-kata itu merujuk kepadanya berdasarkan beliau adalah Ahli Parlimen Shah Alam dan beliau adalah individu yang berjanggut.

Beliau mendakwa kata-kata dalam makna asal dan biasa bermakna beliau sanggup memutar belit ayat al-Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23, Shah Alam, beliau tidak menghormati kesucian al-Quran dan beliau adalah seorang yang sesat kerana sanggup memutar belit ayat al-Quran.
SH

No comments:

Post a Comment