Wednesday, February 9, 2011

Lubang jalan jadi perangkap maut





CHENEH – Jalan berlubang dan rosak teruk dari simpang Felda Neram ke simpang Air Putih, Jalan Jerangau-Jabor, dekat sini, boleh diibaratkan seperti lubang maut apabila hampir setiap hari berlaku kes kemalangan mahupun kenderaan terbabas akibat tayar pecah.

Wakil penduduk, Ahmad Ludin Yaacob, 50, berkata, berikutan keadaan jalan yang berlubang teruk dan rosak sejak sebulan lalu dan masih belum dibaik pulih sehingga sekarang, kes kemalangan di sepanjang jalan itu meningkat berkali ganda.

Menurutnya, lebih parah, ketika cuaca hujan, lubang dalam di tengah jalan sepanjang jalan itu tidak dapat dilihat pengguna jalan raya kerana dilimpahi air menyebabkan ia menjadi perangkap maut kerana banyak berlaku kes terbabas gara-gara tayar pecah terjerlus lubang.

Katanya, pengguna jalan raya berhadapan risiko kemalangan dan kerosakan kenderaan tinggi kerana lubang dalam itu terdapat di kanan dan kiri jalan mengakibatkan pengguna terpaksa melalui jalan berkenaan dengan kelajuan perlahan.

“Disebabkan struktur permukaan jalan yang berlubang teruk ini juga, banyak kes kemalangan membabitkan rempuhan kenderaan belakang berlaku gara-gara kereta hadapan membrek mengejut kerana mengelak lubang.

“Malah, akibat mengelak lubang ini juga, beberapa hari lalu sebuah Perodua Viva terbabas sehingga keempat-empat tayar kenderaan terbalik ke atas, nasib baik pemandunya tidak tercedera,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di laluan lubang maut berkenaan, di sini, semalam.

Menurutnya, disebabkan keadaan jalan sebegitu, kes tayar kenderaan pecah sepanjang laluan itu berlaku setiap hari.

“Semalam sahaja terdapat tiga kenderaan pecah tayar selepas melalui jalan ini. Kadang-kadang kasi�han apabila melihat pengguna jalan raya terpaksa berhadapan masalah ini kerana mereka tidak tahu keadaan jalan di sini, lainlah bagi penduduk yang selalu melaluinya.

“Memandangkan ia laluan utama penduduk dari Jabor-Jerangau, diharap jalan ini dibaik pulih segera sebelum kes kemalangan lebih teruk berlaku hingga membabitkan banyak nyawa melayang,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment