Wednesday, February 9, 2011

Nik Aziz nafi mahu debat Majlis Fatwa




KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan beliau mengeluarkan kenyataan mahu berdebat dengan Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) mengenai kenyataannya yang didakwa merosakkan akidah.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, ada kemungkinan, perkara itu dibangkitkan oleh mereka yang mengambil kesempatan menjual nama sendiri di sebalik isu debat yang hangat diperkatakan kebelakangan ini.
“Saya pun tidak tahu dari mana punca keluar benda ini (debat dengan MFK). Boleh jadi ada orang nak tumpang semangkuk, yang nak naikkan nama dia.

“Tapi saya langsung tak ada nak debat dengan Majlis Fatwa, saya kata kalau nak berdebat dengan masalah..., boleh syarat, dengan mereka yang ada kuasa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabat Menteri Besar di sini, semalam.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Nik Aziz tidak perlu mengheret pihak lain termasuk MFK dalam isu tersebut.

Menurutnya, tindakan Nik Aziz mempertahankan kenyataannya yang didakwa merosakkan akidah dan memecahbelahkan perpaduan umat Islam boleh diselesaikan jika beliau bersetuju berdebat dengan Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran UMNO Kelantan, Prof Mohd Noor Deris.

Jumaat lepas, Nik Aziz dilaporkan berkata, tiada masalah baginya jika MFK mahu mengkaji semua kenyataannya malah beliau juga bersedia berdialog dengan majlis itu bagi menjelaskan pendiriannya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Kelantan, Abdul Latif Abd Rahman dalam nada sinis mencadangkan UMNO melantik Mohd Noor sebagai menteri yang menjaga hal ehwal agama jika parti itu beranggapan beliau layak berdebat dengan Nik Aziz.

“Sekiranya UMNO melihat hanya Mohd Noor Deris layak berdepan dengan Nik Aziz, kami mencadangkan agar beliau dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan diberikan tugas menjaga hal ehwal agama,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment