Wednesday, February 9, 2011

Wartawan Sinar Harian kerugian lebih RM5,000




SHAH ALAM – Seorang wartawan Sinar Harian kerugian lebih RM5,000 setelah cermin kereta dipecahkan di Seksyen 13 di sini malam kelmarin dan barang-barang berharga miliknya dilarikan penjenayah.

Ketika kejadian, Noor Azura Sahril, 27, meletakkan kereta Produa Myvi berwarna putih di tempat letak kereta, kira-kira jam 8.00 malam.

Noor Azura berkata, ketika itu, dia bersama seorang rakan juga wartawan Sinar Harian sedang makan di restoran berhampiran.

Katanya, kejadian itu hanya disedarinya dua jam kemudian ketika mahu pulang ke rumahnya di Bandar Saujana Putra, Jenjarom, Kuala Langat.

“Ketika memasuki kereta, saya terkejut melihat kerusi hadapan sebelah pemandu diturunkan ke hadapan dan apabila diteliti, cermin kereta pada bahagian itu dipecahkan.

“Barang berharga seperti komputer riba, beg tangan dan kamera digital yang diletakkan di bahagian belakang dilarikan penjenayah,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, dia kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Seksyen 15.

Menurutnya, kira-kira jam 9 pagi semalam, seorang kakitangan stesen minyak di Lebuhraya Persekutuan menghubunginya dan memaklumkan menjumpai beg tangannya di dalam tandas lelaki di situ.

“Di dalam beg itu yang tinggal buku nota Sinar Harian,” katanya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

“Saya ingin nasihatkan kepada semua supaya meletakkan barang berharga di dalam bonet kenderaan dan jangan meletakkannya di dalam kereta kerana barang-barang itu dapat dilihat orang serta menarik perhatian penjenayah,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment