JEMPOL 9 Feb. - Penduduk di Taman Chempaka di Jalan Rompin, Bahau di sini gempar apabila seorang pemuda yang dipercayai menghidap masalah mental mengamuk sebelum ditembak mati oleh sepasukan polis semalam.
Dalam kejadian pukul 5.15 petang itu, lelaki berusia lingkungan 30-an yang bersenjatakan parang mati di tempat kejadian selepas terkena satu das tembakan di pipi.
Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh berkata, tembakan itu terpaksa dilepaskan setelah pemuda berkenaan bertindak agresif dan mencederakan seorang anggota polis berpangkat sarjan.
Beliau memberitahu, polis mendapat panggilan daripada ibu mangsa kira-kira pukul 2 petang yang meminta bantuan selepas anaknya itu tiba-tiba mengamuk di rumah mereka.
"Empat anggota polis yang tiba di rumah suspek mendapati lelaki itu sedang duduk di dalam sebuah bilik sambil memegang sebilah parang sepanjang kira-kira 40 sentimeter.
"Anggota polis cuba memujuk mangsa supaya menyerahkan senjata yang dipegangnya itu tetapi tidak dipedulikan.
"Selepas kira-kira tiga jam usaha memujuk dilakukan, lelaki itu mula bertindak agresif dengan cuba menyerang polis menggunakan parang.
"Bagi menghalang serangan itu, seorang anggota polis terpaksa melepaskan satu das tembakan menggunakan 'taser gun'," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Osman berkata, tembakan itu tersasar menyebabkan lelaki terbabit berang dan terus menyerang anggota polis yang cuba memujuknya dengan parang.
Berikutan itu katanya, polis yang berada di dalam bilik itu bergegas keluar namun salah seorang daripada mereka terperangkap menyebabkan dia ditetak bertalu-talu di bahagian kepala sehingga berdarah.
"Disebabkan keadaan semakin kritikal seorang lagi anggota polis terpaksa melepaskan satu das tembakan bagi menyelamatkan rakannya daripada terus diserang oleh lelaki berkenaan," jelasnya.
Osman berkata, tembakan itu menyebabkan lelaki terbabit yang masih bujang rebah dan terus meninggal dunia di tempat kejadian.
"Anggota polis yang diserang itu dikejarkan ke Hospital Jempol sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban di sini dan keadaannya dilaporkan stabil.
"Anggota polis yang berusia lingkungan 50-an itu mengalami kecederaan parah di kepala dan tempurung kepalanya juga retak akibat ditetak dengan parang," katanya.
Tambah beliau, berdasarkan siasatan awal, polis mendapati lelaki berkenaan menghidap masalah mental dan dia tinggal berdua bersama ibunya yang berusia 50-an di rumah berkenaan sejak beberapa tahun lalu.
"Kita belum mengetahui punca sebenar lelaki itu mengamuk dan akan mengambil keterangan semua saksi termasuk ibu suspek dalam tempoh terdekat."Buat masa ini, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh," ujarnya.Utusan Malaysia Online - Jenayah
No comments:
Post a Comment