Thursday, February 10, 2011

Pengalaman menyorok lima hari di rumah sewa



JASIN 9 Feb. - ''Rusuhan di Mesir amat dahsyat dan menggerunkan."
Pelajar tahun dua jurusan perubatan Universiti Iskandariah, Abdul Rahman Abdullah, 21, masih terbayang-bayang keadaan haru-biru akibat rusuhan di Mesir.
Abdul Rahman antara 26 pelajar negeri ini yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi.
Menurutnya, rusuhan yang turut berlaku di tempat penginapannya di bandar Iskandariah merupakan detik cemas yang sukar untuk dilupakan.
''Dari tingkat rumah sewa yang saya diami boleh dilihat bagaimana rakyat Mesir menyerang balai polis, pejabat-pejabat kerajaan serta membakar kenderaan milik kerajaan.
''Pertempuran polis dengan perusuh begitu mengerikan dan tidak dapat saya gambarkan apabila melihat ada antara mangsa yang teruk dibelasah.
''Mujurlah tempat saya dan beberapa pelajar Malaysia menyewa tidak diserang oleh perusuh. Hampir lima hari kami terpaksa berkurung di dalam rumah sewa sebelum pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) membawa kami ke tempat selamat," ujarnya.
Abdul Rahman ditemui pemberita selepas menghadiri majlis makan tengah hari dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di Politeknik Merlimau di sini, hari ini.
Katanya, selepas lima hari, rusuhan mula reda di Iskandariah dan dia bersama beberapa rakan lain memberanikan diri keluar dari rumah sewa untuk membeli makanan di kedai-kedai berhampiran.
''Sebaik sahaja keluar, saya mendapati hampir semua pejabat kerajaan di bandar Iskandariah dipecahkan perusuh. Tingkap, pintu dan peralatan pejabat semuanya hancur.
''Ada pejabat yang dibakar dan keadaan jalan berselerak. Sebuah pasar raya pula dipecah masuk dan semua barang jualan dicuri," katanya.
Sementara itu, penuntut tahun lima jurusan perubatan di Universiti Ain Shams, Ahmad Syahir Md. Ismail, 23, turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana membawa mereka keluar dari negara tersebut dengan selamat.
''Di tempat saya belajar dan menginap, tidak ada rusuhan berlaku tetapi tindakan pantas pelbagai pihak membawa saya serta rakan yang lain keluar amat dipuji," ujarnya.
Seorang lagi pelajar tahun dua dalam jurusan perubatan dari Universiti Al-Azhar, Farhana Azwani Abu Bakar, 21, berkata, dia belum membuat sebarang keputusan untuk meneruskan pengajian berikutan rusuhan yang berlaku di negara tersebut.
''Saya belum fikir lagi buat masa ini, yang penting saya telah selamat kembali ke tanah air,'' ujarnya.Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment