Thursday, February 10, 2011

Polis cuba tenteram lelaki amuk ditetak


Oleh Ziauddin Sharuddin

2011/02/10

OSMAN melihat keadaan Abdul Rahim yang menerima rawatan  di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, semalam.
OSMAN melihat keadaan Abdul Rahim yang menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, semalam.
SEREMBAN: Seorang anggota polis berpangkat sarjan yang cuba mententeramkan seorang lelaki yang mengamuk, cedera parah di kepala, leher dan telinga kirinya hampir putus dilibas dengan parang sebelum lelaki itu ditembak mati di Taman Cempaka, Bahau, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, lelaki berusia 30-an itu ditembak di pipinya selepas menyerang dan menetak bertubi-tubi Sarjan Abdul Rahim Hamid, 50, ketika mangsa bersama tiga anggota polis lain cuba berundur selepas lelaki itu semakin agresif.
Lelaki bersenjatakan parang itu melibas beberapa kali ke kepala, leher dan bahu Abdul Rahim menyebabkannya cedera parah.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata Balai Polis Bahau menerima panggilan daripada ibu lelaki terbabit meminta bantuan kerana anaknya yang mempunyai sejarah gangguan mental mengamuk dan tidak dapat dikawal.

Katanya, empat anggota polis yang tiba di tempat kejadian kira-kira jam 2 petang cuba mententeramkan lelaki itu yang dikhuatiri mengancam keselamatan penduduk berhampiran.

Lelaki yang menganggur itu gagal dipujuk dan sikap agresifnya menyebabkan anggota polis menggunakan pistol taser yang berfungsi untuk melumpuhkan sementara lelaki itu.

“Bagaimanapun usaha itu gagal apabila sasaran tidak mengena dan keadaan kelam kabut dalam bilik menyebabkan dia sempat mengelak. Ini menyebabkannya semakin berang dan ketika keempat-empat anggota polis itu cuba berundur dari bilik itu, dia menyerang mangsa yang berada paling belakang.
“Dalam pergelutan itu, mangsa ditetak berulang kali dan seorang anggota polis melepaskan satu das tembakan mengenai muka lelaki terbabit yang mati di tempat kejadian,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini, semalam.

Katanya, Abdul Rahim dikejarkan ke Hospital Jempol dan kemudian dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) dengan keadaannya dilaporkan stabil.
Berita Harian Online | Polis cuba tenteram lelaki amuk ditetak

No comments:

Post a Comment