Monday, March 21, 2011

2 ditemui masih hidup


TOKYO: Seorang wanita berusia 80 tahun dan seorang remaja berumur 16 tahun ditemui masih hidup di bawah runtuhan bangunan di bandar Ishinomaki, semalam, sembilan hari selepas gempa bumi dan tsunami melanda wilayah timur laut negara itu.
Stesen penyiaran NHK memetik polis di wilayah Miyagi sebagai berkata, kedua-duanya menyahut jeritan anggota pasukan penyelamat polis di wilayah Miyagi sebelum ditarik keluar.

Mereka dalam keadaan lemah tetapi sedar. Seorang pegawai Palang Merah Hospital Ishinomaki berkata, kedua-dua mangsa kini berada di hospital berkenaan untuk dirawat. “Saya hanya dapat melihat seketika wanita itu. Matanya tertutup. Tetapi dia tidak mati,” kata seorang pegawai. Dia bagaimanapun tidak dapat menyatakan sama ada seorang lagi mangsa remaja lelaki atau perempuan kerana wajahnya dilindungi topi.

Polis di Ishinomaki tidak dapat dihubungi untuk pengesahan.

Kelmarin, agensi berita Kyodo melaporkan seorang pemuda berjaya diselamatkan selepas lapan hari tertimbus. Bagaimanapun, ia menarik balik laporan itu selepas mendapati pemuda berkenaan pulang ke rumahnya selepas dipindahkan ke pusat perlindungan pada hari pertama bencana melanda. Sementara itu, jumlah kematian akibat bencana itu yang terbesar sejak gempa Great Kanto memusnahkan sebahagian besar Tokyo, meningkat kepada 8,133 dengan 12,272 lagi dilapor hilang, dikhuatiri dihanyutkan oleh tsunami atau tertimbus dalam runtuhan bangunan.

Di Miyagi, wilayah paling teruk terjejas, jumlah rasmi kematian ialah 4,882.


Bagaimanapun, Ketua Polis wilayah itu, Naoto Takeuchi memberitahu wartawan semalam, seramai 15,000 orang mungkin mati di wilayah itu saja. - AP

No comments:

Post a Comment