TRIPOLI: Tentera Eropah dan Amerika Syarikat melancarkan serangan peluru berpandu dari pesawat pejuang dan kapal selam terhadap tentera Libya, awal pagi semalam (waktu tempatan). Televisyen Libya melaporkan, 48 orang terbunuh dan 150 cedera akibat serangan itu. |
KUALA LUMPUR: Tindakan serangan udara ke atas Libya oleh Barat yang diketuai Amerika Syarikat (AS) akan menimbulkan banyak persoalan daripada pelbagai pihak dan mereka perlu memberi penjelasan motif sebenar serangan ke atas negara pimpinan Muammar Gaddafi.
Penganalisis politik, Dr Chandra Muzaffar berkata, serangan itu memang sudah diramalkan beberapa pihak dan beberapa negara Arab juga turut menyokongnya susulan daripada kebangkitan rakyat terhadap kepemimpinan Gaddafi sebelum ini.
“Namun, timbul beberapa soalan iaitu sekiranya serangan dilakukan bertujuan menyelamatkan dan melindungi orang awam daripada krisis yang melanda negara itu, tapi apa yang jelas orang awam tetap akan menjadi mangsa.
“Persoalannya, adakah tindakan ketenteraan ini akan hapuskan rejim Gaddafi, saya yakin kita belum pasti akan perkara itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Pagi semalam, kapal perang dan kapal selam Amerika dan British melancarkan fasa pertama serangan peluru berpandu ke atas pertahanan udara Libya.
Menurut laporan Associated Press (AP), dalam serangan itu, 112 peluru berpandu Tomahawk dilancarkan ke atas lebih 20 sasaran di pantai untuk membuka laluan kepada pasukan udara bersekutu bertindak melumpuhkan pertahanan udara Libya.
Dr Chandra berkata, serangan itu menunjukkan sikap berat sebelah Barat terhadap Libya berkemungkinan negara itu bukan negara sekutunya berbeza semasa serangan ketenteraan di Bahrain, tiada tindakan daripada Barat mungkin disebabkan negara itu menjadi pangkalan tentera AS.
“Malah, ketika serangan ke atas Gaza pada Januari 2009, mengapa tidak fikir mahu selamatkan rakyat Palestin jika benar matlamat mereka mahu menyelamatkan dan melindungi orang awam. Jelas sekali, rakyat Palestin juga turut menjadi mangsa ketidakadilan kuasa besar itu.
“Justeru, tidak mustahil akan timbul tanda tanya mungkin serangan ke atas Libya itu bukan mahu selamatkan mana-mana pihak tapi hanya agenda tersembunyi kerana Libya antara negara paling kaya dengan hasil minyak dan gas,” katanya
metro
No comments:
Post a Comment