Monday, March 21, 2011

Krisis nuklear Jepun pengaruhi pembinaan loji AS





2011/03/21

WASHINGTON: Krisis nuklear Jepun dijangka mempengaruhi pemilihan tapak pembinaan loji nuklear dirancang di Amerika Syarikat dan operasi sedia ada di loji di New York akan disemak semula. 

“Sudah tentu proses pemilihan tapak loji nuklear akan jauh berbeza berbanding kaedah yang digunakan sebelum ini,” Setiausaha Tenaga Amerika Syarikat, Steven Chu memberitahu rancangan televisyen Fox News Sunday, semalam.
Jepun berupaya memulihkan kuasa elektrik di loji nuklear di Fukushima Daiichi yang terputus akibat gempa bumi dan tsunami sembilan hari lalu, perkembangan yang dilihat mampu membantu menyejukkan reaktor yang semakin panas sehingga mengancam menyebabkan kebocoran radiasi.
Selain di Amerika, krisis di Jepun itu turut menyebabkan banyak negara lain menyemak rancangan masing-masing untuk membina loji nuklear. 

Presiden Barack Obama berkata Khamis lalu pentadbiran beliau sudah mengarahkan semakan menyeluruh terhadap kemudahan nuklear di AS, tetapi menegaskan pihaknya tetap menggalakkan penggunaan kuasa nuklear. 

Ditanya sama ada loji nuklear di Indian Point, terletak kira-kira 64 km di utara bandar raya New York patut terus beroperasi, Chu berkata: “Kita perlu menyemak semula sama ada reaktor ini harus kekal di situ.” 

Beliau berkata keputusan mengenai perkara itu akan dibuat oleh Suruhanjaya Pengawalseliaan Nuklear tetapi beliau yakin loji terbabit adalah selamat. 
Loji Indian Point di New York, di tebing sungai Hudson River jika berdepan dengan krisis seperti di Fukushima boleh mengancam 20 juta penduduk yang berada dalam lingkungan 80 kilometer dari loji itu. 

Loji itu terletak di atas dua garisan rekahan bumi tetapi syarikat pengendalinya Entergy berkata loji itu boleh bertahan sehingga gempa bumi magnitud 6.0. – Reuters 

No comments:

Post a Comment