Thursday, March 3, 2011

Cadangan dikemukakan pada Kerajaan Pusat



Beginilah keadaan jalan menghubungikan Miri - Marudi, setiap kali hujan ia tidak dapat digunakan walaupun melibatkan kenderaan pacuan empat roda.

MIRI 2 Mac - Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan akan mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Persekutuan bagi mempertimbangkan cadangan untuk membina dan menaik taraf jalan Miri-Marudi.

Menterinya, Datuk Seri Michael Manyin Jawong bagaimanapun berkata, projek itu memerlukan penelitian terlebih dahulu kerana ia membabitkan jalan balak dan jalan ladang kelapa sawit.

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa kerajaan akan melaksanakan projek berkenaan namun ia mengambil sedikit masa kerana membabitkan kos amat besar.

"Cabaran di Sarawak ialah kita mempunyai kawasan yang amat luas dengan bentuk muka bumi mencabar, sebagai contoh kawasan Baram termasuk Marudi menyamai saiz negeri Pahang.

"Jika di Semenanjung, RM3 juta diperlukan untuk membina jalan raya sepanjang satu kilometer namun di Sarawak, antara RM8 juta hingga RM10 juta diperlukan," katanya di sini baru-baru ini.

Beliau mengulas hasrat penduduk Marudi yang mahukan jalan menghubungkan kawasan itu dengan Miri dinaik taraf atau dibina baru kerana jalan balak dan jalan ladang kelapa sawit pada masa ini menyukarkan pergerakan mereka.

Laluan sepanjang 43 kilometer itu mengambil masa 75 minit sehala namun ia akan menjadi lebih panjang sekiranya kenderaan terkandas di laluan berlumpur.

Mengulas lanjut, Michael Manyin berkata, walaupun berdepan dengan kesulitan dan cabaran untuk membina jalan, ia tidak akan sesekali mengganggu usaha kerajaan yang mendahulukan rakyat untuk membina jalan raya berkualiti.

"Kerajaan sentiasa melakukan yang terbaik bagi memastikan penduduk di negeri ini termasuk di Marudi mempunyai jalan raya yang baik," katanya.Utusan Malaysia Online - Sabah & Sarawak

No comments:

Post a Comment