MARUDI 2 Mac - Marudi yang terletak di bahagian utara Miri berhampiran Taman Negara Gunung Mulu, dari segi sejarahnya merupakan antara pekan tertua di negeri ini.
Kedudukannya cukup strategik di kawasan yang kaya dengan sumber alam semula jadi khususnya industri kayu balak dan penanaman kelapa sawit sekali gus memperlihatkan peranan pentingnya terhadap pembangunan daerah Baram.
Selain itu, Marudi turut terkenal dengan penganjuran Regata Baram yang berlangsung setiap tiga tahun sekali.
Untuk berkunjung ke kawasan ini, orang ramai mempunyai tiga pilihan sama ada menggunakan pengangkutan udara yang disediakan oleh MASwings, bot ekspres menyusuri Sungai Batang Baram dan laluan darat.
Majoriti penduduk lebih gemar menggunakan jalan darat berikutan faktor kos dan masa walaupun laluan sepanjang 43 kilometer dari Miri ke sini merupakan jalan balak dan jalan ladang kelapa sawit.
Sudah lama mereka mengimpikan jalan yang sempurna namun, sehingga sekarang begitulah keadaannya, masih belum ada apa-apa perubahan.
Keadaan semakin kritikal pada musim hujan apabila permukaan jalan menjadi licin dan becak atau ditenggelami air dan adakalanya berlaku tanah runtuh.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, perjalanan dari Miri ke sini yang biasanya mengambil kira-kira 75 minit menjadi berjam-jam jika kenderaan tersangkut di dalam lumpur sehingga perlu ditarik oleh kenderaan lain.
Kadangkala, ada juga pengguna yang terpaksa membatalkan rancangan balik kampung kerana jalan berkenaan menjadi terlalu bahaya khususnya di kawasan Bukit Tanah Hitam kerana bercerun tinggi selain dikelilingi gaung.
Wakil penduduk, Wong Kiong Ching yang mewakili masyarakat Marudi berkata, penduduk lebih gemar menggunakan jalan darat kerana ia menjimatkan masa berbanding menggunakan bot ekspres yang mengambil masa selama tiga jam.
"Manakala jalan udara pula menggunakan pesawat ringan MASwings jenis Twin Otter yang mempunyai tempat duduk terhad.
"Tambang penerbangan ini menjadi satu beban kepada golongan kurang mampu walaupun perjalanan hanya mengambil masa 15 minit," katanya baru-baru ini.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan surat permohonan penduduk Marudi kepada kerajaan negeri untuk menaik taraf jalan Miri-Marudi yang disampaikan kepada Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan, Datuk Seri Michael Manyin Jawong.
Seorang penduduk tempatan, Mark Bujang berkata, kerajaan harus menyegerakan pembinaan jalan baru atau sekurang-kurangnya membaiki jalan tersebut tanpa menunggu musim pilihan raya.
"Jalan Miri-Marudi sepatutnya dibina kerana sudah lama penduduk mengutarakan permintaan itu.
"Tetapi malangnya rayuan itu tidak dipedulikan seolah-olah penduduk di Marudi dipinggirkan daripada menerima arus pembangunan," katanya.
Menurut Mark, kerajaan harus memberikan keutamaan kepada penduduk di Marudi kerana daerah itu mempunyai lebih 10,000 penduduk tidak termasuk kawasan Baram yang berhampiran.
"Dengan adanya kemudahan jalan raya yang baik, ia akan meningkatkan tahap ekonomi penduduk melalui kegiatan pertanian dan pelancongan kerana akses yang mudah," tegasnya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Baram, Joseph Belayong turut memohon kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menabur batu kelikir di permukaan jalan yang licin semasa musim hujan bagi memudahkan perjalanan.
"Bagi pemandu yang bergantung kepada laluan ini sebagai sumber rezeki dengan mengangkut penumpang, mereka tidak mempunyai masalah kerana berpengalaman luas selain mahir dengan setiap selok-belok laluan,'' katanya.
"Namun, bagi mereka yang tidak mempunyai pengalaman memandu kereta dengan situasi jalan raya seperti ini, pastinya amat merbahaya," katanya.Utusan Malaysia Online - Sabah & Sarawak
No comments:
Post a Comment