KUALA LUMPUR: Bimbang rahsia perkahwinan keduanya di negara jiran diketahui isteri pertama, seorang pengerusi sebuah pertubuhan kebajikan Islam di Ranau, Sabah sanggup meninggalkan isteri baru tanpa nafkah zahir dan batin hanya selepas beberapa bulan mereka bernikah.
Malah, lelaki berusia 50-an itu turut membiarkan isteri keduanya hidup tanpa status yang sah apabila enggan mendaftarkan perkahwinan mereka di sini walaupun mengetahui ia menyalahi undang-undang syariah.
Wanita malang itu yang hanya ingin dikenali sebagai Khadijah, 53, berkata, dia sanggup berkahwin dengan lelaki itu kerana terlalu mempercayainya yang mempunyai latar belakang agama tinggi dan berasa suaminya itu akan bertanggungjawab serta berlaku adil.
Menurutnya, mereka bernikah pada 30 Julai tahun lalu di Narathiwat, Selatan Thailand dan kira-kira sebulan selepas itu dia dengan usaha sendiri mendaftarkan pernikahan mereka di jabatan agama, namun suaminya enggan menandatangani dokumen dengan memberikan pelbagai alasan.
“Sebelum kahwin macam-macam dia janjikan, hingga sanggup memberi mas kahwin RM15,000. Tapi tidak sangka selepas tiga bulan bernikah dia meninggalkan saya tanpa sebarang nafkah serta turut bersikap dingin terhadap saya hingga kini. “Dia langsung tidak mempedulikan saya sekarang dan apabila ditanya mengapa, dengan selamba dia mengatakan mereka tidak boleh hidup bersama kerana cara hidup mereka berbeza,” katanya yang ditemui di sini, kelmarin.
Khadijah berkata, dia berasa dipermainkan dan lebih teruk suaminya seperti tidak mahu mengaku yang mereka sudah berkahwin dengan beberapa kali menghantar SMS mengatakan pernikahan di negara jiran itu tidak sah dan mereka tiada sebarang ikatan atau hubungan lagi.
Menurutnya, dia tidak sangka seorang berjawatan tinggi dalam pertubuhan Islam yang boleh dikatakan berstatus pendakwah serta mengetahui mengenai hukum agama serta undang-undang syariah tergamak melakukan perkara sedemikian. Katanya, dia kini malu untuk berdepan dengan masyarakat sekeliling terutama ahli keluarga dan rakan yang mengetahui mengenai perkahwinan mereka dan perkara itu juga mengganggu kehidupan hariannya.
“Jika benar dia sudah tidak mahu ada apa-apa hubungan, saya harap perpisahan itu dilakukan mengikut cara yang betul dengan mendaftarkan terlebih dulu perkahwinan dan kemudian barulah bercerai cara baik melalui proses yang betul.
“Macam mana nak bercerai sedangkan pernikahan kami tidak didaftarkan dan saya percaya dia mengetahui perkara itu, tetapi sengaja berbuat demikian kerana takut perkahwinan kami diketahui isteri pertama selain bimbang kedudukannya terjejas ekoran melakukan kesalahan mengikut undang-undang syariah ,” katanya.
Menurutnya, dia masih menyayangi suaminya dan jika boleh ingin mencari jalan terbaik bagi menyelamatkan perkahwinan mereka serta berharap suami lebih bertanggungjawab dengan tidak lepas tangan dengan apa yang sudah berlaku. Khadijah berharap agar pengalaman pahitnya itu dijadikan iktibar kepada wanita lain supaya tidak terpedaya dengan kedudukan seseorang itu hingga sanggup membelakangkan undang-undang.
No comments:
Post a Comment