Oleh Azida Shaharuddin
2011/03/23
SIDEK menunjukkan kad pengenalannya dan penyata KWSP yang mempunyai nama berbeza.
JOHOR BAHRU: Angkara perbezaan nama sebenar dan timangan, seorang bekas pengawal keselamatan bank terpaksa berputih mata apabila tidak berpeluang mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diperlukan untuk menyara hidupnya yang kini lumpuh separuh badan.
Nasib malang itu ditempuhi Sidek Aziz, 72, yang turut dikenali sebagai Yusof di kalangan ahli keluarganya dan pernah menggunakan nama timangan, Yusof Abdul Aziz, ketika memohon pekerjaan sebelum ini dan caruman KWSP dibuat atas nama berkenaan.
Sidek tidak dapat mengeluarkan wang simpanannya kerana kehilangan kad pengenalan kira-kira 20 tahun lalu dan tidak membuat laporan polis mengenainya, menyebabkan beliau terpaksa membuat dokumen baru.
Namun, apabila kad pengenalan baru siap atas nama Sidek, timbul masalah berikutan beliau melakukan kesilapan pernah mendaftar nama dengan majikan sebagai Yusof iaitu nama panggilan digunakan ahli keluarganya terhadap beliau, menyebabkan caruman KWSP didaftarkan atas nama berkenaan.
Isterinya, Faridah Basir, 66, berkata masalah itu dikenal pasti akhir tahun lalu, apabila Sidek ingin menuntut wang caruman KWSP miliknya.
“Apabila kami ke KWSP Johor Bahru, kakitangan agensi itu memaklumkan suami saya tidak boleh mengeluarkan wang tanpa kad pengenalan, menyebabkannya dia (Sidek) susah hati dan diserang angin ahmar pada petang hari sama.
“Suami lumpuh separuh kiri badan dan tidak boleh bercakap dengan jelas, selain mengidap darah tinggi, masalah buah pinggang dan rabun teruk kedua-dua belah mata.
“Sejak itu saya terpaksa berhenti kerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah kilang untuk menjaga suami, dan pada masa sama bergantung kepada wang simpanan sendiri, selain RM200 hasil sewa tanah di Segamat yang diwarisi suami daripada bapanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Melayu Majidee, semalam.
Faridah berkata, beliau dan suami tidak berputus asa sebaliknya mendapatkan bantuan Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Shahrir Abd Samad, berhubung masalah itu.
Katanya, hasil nasihat dan bantuan Shahrir serta Kementerian Dalam Negeri, Sidek dapat membuat kad pengenalan baru akhir tahun lalu, walaupun sebelum itu wujud masalah pertindihan nombor kad pengenalan dengan seorang wanita yang sudah meninggal dunia.
“Ketika membuat kad pengenalan di JPN, kakitangan jabatan itu tidak membenarkan suami mendaftar dua nama sebaliknya hanya satu nama iaitu Sidek Aziz walaupun kami meminta meletakkan nama panggilannya iaitu Yusof, sekali.
“Namun permintaan ditolak dengan alasan suami boleh membuat pertukaran nama di masa depan. Satu demi satu masalah terpaksa dilalui dan pelbagai usaha diambil namun wang caruman sendiri masih belum boleh dikeluarkan suami, malah menjadi semakin rumit,” katanya.
Faridah berkata, beliau pernah meminta bantuan rakan anaknya pada 2008, untuk memeriksa dan mendapatkan penyata jumlah keseluruhan caruman KWSP yang boleh dikeluarkan Sidek menggunakan nombor kad pengenalan beliau dan jumlahnya mencecah puluhan ribu ringgit.
Katanya, masalah lain turut timbul apabila beberapa geran tanah diwarisi Sidek daripada bapanya turut didaftarkan atas nama Yusof Abdul Aziz.
“Kini suami hendak menjual tanah seluas kira-kira 0.8 hektar di Tunku Tiga, Sungai Segamat Kanan, namun tidak dapat dilakukan kerana bakal berdepan masalah kerana nama pada kad pengenalan tidak sama dengan nama yang didaftarkan,” katanya.
Beliau berkata, suami pernah cuba membuat pertukaran nama pada 4 Januari lalu, namun permohonan itu ditolak JPN dan kelmarin, satu lagi permohonan pertukaran nama sudah dilanjutkan kepada JPN termasuk menyertakan kad pengenalan lima anak mereka berusia antara 25 hingga 39 tahun ketika ini.
“Kami harap JPN prihatin dengan keadaan ini dan mengambil berat permohonan kami. Suami saya bukan pendatang asing tanpa izin tetapi warga negara ini dan berasal dari Kampung Tengah, Segamat.
“Dia (Sidek) setakat hanya mahu merasai wang caruman KWSP yang patut diterimanya di usia lanjut ini, yang diperoleh sepanjang beliau penat bekerja sebelum ini selain hasil jualan tanahnya.
“Buat masa ini, suami masih hidup dan sedang berusaha melakukan pembetulan yang perlu. Saya risau sekiranya apa-apa terjadi kepada suami kelak, bagaimana pula dengan nasib saya dan keluarga apabila tidak mendapat harta yang sepatutnya diwarisi,” katanya.
bharian
No comments:
Post a Comment