Monday, March 14, 2011

‘Saya teringin jumpa ayah’




SIDAM KIRI – ‘Saya tidak pernah melihat wajah ayah, jika ayah masih hidup, sekurang-kurangnya datanglah berjumpa saya dan kakak.’ Itulah Nur Nazatul Nazlifa Natzrol, 14, yang tidak pernah merasai kasih sayang seorang bapa sejak dilahirkan.

Nur Nazatul Nazlifa Natzrol, 14, dan kakaknya Nur Sabarina, 17, bergantung hidup dengan ibu dan neneknya setelah bapanya, Natzrol Othman, 44, pergi tanpa sebarang berita.

Nur Nazatul berkata, dia sangat mengharapkan agar bapanya datang menjenguknya dan keluarga walaupun buat seketika.

“Bila balik sekolah sahaja semua kawan saya dijemput bapa mereka, tapi saya tidak ada, saya rasa sedih sangat, sedangkan menurut cerita daripada nenek dan mak, bapa saya masih ada cuma tidak tahu sama ada dia masih hidup atau tidak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Nur Nazatul berkata, dia dan kakaknya disara neneknya sejak kecil. Setelah ibu dan bapanya berpisah, mereka tidak pernah mendengar sebarang berita daripada bapanya.

“Saya mohon ayah datanglah menjenguk kami jika ayah masih hidup, saya teringin sekali bertemu ayah, seingat saya tidak pernah melihatnya.

“Saya juga ingin mengadu semua masalah saya kepada ayah seperti orang lain, tetapi saya tidak pernah merasa kasih sayang seorang ayah selama ini,” katanya.

Neneknya Aishah Md Taib, 72 berkata, setelah anak dan menantunya berpisah, Natzrol tidak pernah menghubungi dan menjenguk anaknya walaupun sekali.

“Setelah mereka berpisah, Natzrol tidak pernah datang ke mari untuk berjumpa anaknya, bahkan telefon pun tidak pernah inikan pula untuk memberi nafkah.

“Sebelum ini Nur Nazatul tidak pernah menyebut tentang bapanya, namun sejak kebelakangan ini dia sentiasa bertanyakan berkenaan bapanya dan bertekad mahu mencarinya mungkin kerana dia teringin melihat bapanya,” katanya.

Aishah berkata, kedua-dua cucunya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Lela Pahlawan juga memerlukan perhatian dan bantuan daripada bapa mereka yang sekian lama menyepi.

“Kami juga pernah mencuba untuk mencarinya, namun kami tidak tahu di mana dia berada, setahu saya keluarganya masih tinggal di Kedah.

“Sekarang dengan bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 dan hasil daripada mengopek ikan bilis, saya dan cucu meneruskan hidup, “ katanya.

Sesiapa yang mengenali Natzrol atau beliau membaca artikel ini hubungi Nazlifa di talian 017-5508734.
SH

No comments:

Post a Comment