Monday, March 14, 2011

Separuh hilang


SENDAI: Lumpur dan sisa bangunan kini mencemari kawasan sepanjang perairan pantai timur Jepun, yang dulunya bandar dan kampung tetapi kini musnah akibat dipukul tsunami ekoran gempa bumi terbesar pernah melanda negara itu.
Bandar pelabuhan Minamisanriku boleh dikatakan musnah sama sekali dengan separuh daripada 17,500 penduduknya tidak dapat dikesan selepas ombak besar menenggelamkan kawasan berkenaan berikutan gempa berukuran 8.9 magnitud. Sebuah hospital adalah antara segelintir bangunan yang masih tegak.

Beberapa penduduk di Bandar Kamaishi bernasib baik apabila siren amaran tsunami sempat dikeluarkan, membolehkan mereka menyelamatkan diri ke tempat lebih tinggi sebelum menyaksikan kejadian tsunami memusnahkan kediaman mereka.
Ombak besar berwarna hitam itu menghanyutkan kereta, kontena dan sisa bangunan ke jalan raya di Sendai dan kawasan terbuka menyebabkan lumpur tebal meliputi kawasan yang amat luas.

Seorang wanita tua yang membalutkan dirinya dengan selimut sambil menangis menceritakan bagaimana dia dan suaminya diselamatkan dari bandar Kesennuma, di Miyagi utara, tempat tsunami itu menghanyutkan sebuah bandar perikanan.

“Saya cuba menyelamatkan diri bersama suami. Tetapi air naik begitu pantas dan memaksa kami melarikan diri ke tingkat dua sebuah rumah. Ramai orang di situ dan tidak satu pun yang kami kenali,” katanya kepada stesen televisyen NHK.
Paras air terus naik ke tingkat dua dan di depan mata kami, kami menyaksikan pemilik dan anak perempuannya hanyut. Kami tidak boleh berbuat apa-apa.

Sementara itu, jurucakap Hospital Teishin di Sendai, Masayoshi Yamamoto berkata, hospital itu yang masih mempunyai bekalan elektrik kerana menggunakan generator sendiri, menarik kedatangan mangsa.
Kebanyakan mangsa berasal dari luar Miyagi yang pernah datang ke sini untuk melawat mahupun bagi mendapatkan ubat.

“Kira-kira 50 orang tiba untuk mendapatkan perlindungan daripada kesejukan malam di luar,” katanya.

Tetapi, dengan bekalan air terputus, Yamamoto berkata, pegawai hospital bimbang berapa lama simpanan air dalam tangkinya boleh bertahan. Hospital itu juga mungkin kehabisan makanan untuk pesakitnya menjelang hari ini.

Kami sudah meminta bantuan makanan daripada hospital lain tetapi pengangkutan menjadi masalah,” kata Yamamoto.

Asap tebal setinggi 500 meter dapat dilihat memenuhi ruang angkasa pelabuhan Sendai. Sebuah kompleks petrokimia di situ meletup dan terbakar sejak gempa bumi berlaku.

Orang ramai dengan tenang beratur mendapatkan bantuan makanan tetapi rak di sebuah pasar raya sudah kosong. Kenderaan pula terpaksa menanti sehingga empat jam sebelum dapat mengisi minyak. Itu pun hanya 10 liter diperuntukkan untuk setiap kereta.

“Rumah kami hanyut tetapi saya dapat menyelamatkan diri dengan satu beg pakaian saja,” kata Sayuri Aizawa, 64. Suami dan anaknya berusia 36 tahun berada dalam kereta untuk mencari tempat perlindungan.

“Pusat pemindahan di tempat kami penuh sesak. Saya dan suami berjaya mendapatkan bekalan ubat tekanan darah tinggi untuk 10 hari saja,” katanya.

Dengan ketiadaan bekalan air dan elektrik, paip sementara didirikan di luar sekolah dan pusat pemindahan sementara. Orang ramai terpaksa mengepam sendiri air ke dalam baldi. - AFP
myMetro

No comments:

Post a Comment