Friday, March 4, 2011

Tunai RM15,000 hangus

SH


PASIR MAS – Sepasang suami isteri warga emas terkilan apabila tidak sempat menyelamatkan wang simpanan bernilai RM15,000 yang disimpan di beberapa tempat di dalam rumah, apabila berlaku kebakaran di Kampung Kolam di sini, jam 1 petang, semalam.

Tindakan menyimpan wang di beberapa tempat di kawasan rumahnya juga mengakibatkan mereka kerugian lebih RM15,000, barangan kemas bernilai RM10,000 dan barangan kelengkapan rumahnya bersama anak-anak, yang mencecah hampir RM50,000.

Mangsa, Pak Tam Awang Hamat, 82, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumah setelah pulang dari kebun, tidak jauh daripada tempat kejadian.

“Pakcik hanya mampu melihat api marak sehingga membakar sebahagian besar daripada rumah, tetapi pakcik bersyukur kerana isteri, anak serta dua cucu terselamat daripada menjadi mangsa kebakaran tersebut,” katanya.

Pak Tam berkata, dia risau mengenangkan isterinya, yang mengalami masalah penglihatan kerana ia mungkin menghalangnya daripada menyelamatkan diri.

Sementara itu, isterinya, Bunga Ali, 90, berkata, ketika kejadian dia bersama anaknya Rafeah Pak Tam, 50, bersama dua cucunya yang berusia tiga dan empat tahun sedang berehat di rumah.

“Tiba-tiba makcik terhidu asap tebal yang memenuhi ruang tamu rumah lalu makcik terus keluar menyelamatkan diri.

“Hampir separuh jalan, makcik teringatkan anak serta dua cucu sedang nyenyak tidur dan berpatah balik untuk menyelamatkan mereka.

“Namun makcik dihalang Rafeah kerana dia akan menyelamatkan kedua-dua cucunya itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Ab Kadir Che Ya berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 1.09 petang dan menuju ke tempat kejadian dengan kekuatan sebuah jentera dan enam anggota.

“Kami mengambil masa selama 20 minit untuk mengawal api sepenuhnya daripada merebak ke rumah anaknya bersebelahan tempat kejadian. Kerugian dianggarkan berjumlah RM50,000, kerana hampir 100 peratus rumah hangus terbakar,” katanya.

No comments:

Post a Comment