Thursday, April 14, 2011

Bayi kepala besar meninggal dunia



Jenazah Mohd. Irfan Mohd Iswadi dibawa keluar dari Hospital Tuaku Fauziah, Kangar, semalam. Turut kelihatan, ibunya, Norzana Zainon (kanan). - utusan/Faizal Abu Hassan


KANGAR 13 April - Mohd. Irfan Mohd. Iswandi, bayi yang menghidap penyakit hydrocephalus atau kepala besar, meninggal dunia pagi ini ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.
Ibunya, Norzana Zainon, 26, berkata, Mohd. Irfan yang berusia sembilan bulan, demam sejak tiga hari lalu, namun pagi ini dia turut mengalami selesema sehingga terpaksa dihantar ke HTF kira-kira pukul 7 pagi.
Bagaimanapun setibanya di Unit Pediatrik HTF, doktor mengesahkan Mohd. Irfan telah meninggal dunia ketika dalam perjalanan iaitu pukul 7.20 pagi.
"Mohd. Irfan memang kerap demam sejak kebelakangan ini, namun pagi ini dia mengalami selesema, malah tidak memberi tindak balas apabila kami bercakap dengannya," katanya ketika ditemui di Rumah Mayat HTF di sini hari ini.
Norzana berkata, anaknya itu sepatutnya menjalani pembedahan menukar tiub dalam badannya yang didapati tersumbat di Pulau Pinang pada 12 Mei ini.
Katanya, bulan lalu sahaja, Mohd. Irfan telah dibawa ke Unit Pediatrik HTF sebanyak tiga kali kerana demam menyebabkan berat badannya semakin susut.
"Kelmarin, kami sekali lagi bawa Mohd. Irfan ke HTF dan doktor memberitahu kami supaya bersiap sedia dan reda dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku," katanya.
Dalam pada itu, Norzana dan suaminya, Mohd. Iswandi Mohd. Aziz, 29, memberitahu, mereka reda dengan pemergian Mohd. Irfan.
"Kami telah berusaha memberi yang terbaik untuknya, namun Allah menetapkan setakat ini sahaja Mohd. Irfan bersama-sama kami," kata mereka.
Penderitaan Mohd. Irfan disiarkan oleh akhbar sejak 30 November 2010 dan mendapat perhatian rakyat dari seluruh negara, termasuk kerajaan negeri melalui Ahli Dewan Undangan Sena, Jamil Saad, Pergerakan Puteri UMNO Perlis dan Persatuan Kelab Belia Malaysia.
Sementara itu, jenazah Mohd. Irfan akan dikebumikan di kampung bapanya di Kampung Padang Menta, Simpang Empat di sini selepas solat Zuhur.
-Utusan

No comments:

Post a Comment