KAHERAH: Pendakwa raya Mesir semalam mengumumkan menahan Hosni Mubarak selama 15 hari bagi membolehkan bekas presiden itu disiasat atas dakwaan rasuah, salah guna kuasa dan membunuh penunjuk perasaan.
Pengumuman itu adalah perkembangan dramatik terkini terhadap pemimpin diktator Mesir itu dan dibuat beberapa jam selepas dia dimasukkan ke hospital di Sharm el-Sheikh kerana masalah jantung.
Sejak disingkirkan pada 11 Februari lalu, rakyat menuntut pihak berkuasa menyiasat salah laku Hosni serta kebanyakan menterinya.
Penahanan itu diumumkan pejabat pendakwa raya dalam Facebook.
Selain rasuah, Hosni, 82, juga disiasat atas penyelewengan dana awam dan salah guna kuasa untuk kepentingan peribadi.
Dalam pengumuman berasingan beberapa jam sebelumnya, pendakwa raya menyatakan dua anak lelaki Hosni disoal siasat dan ditahan.
“Pendakwa raya mengarahkan penahanan Hosni dan anaknya, Gamal dan Alaa, selama 15 hari untuk siasatan,” kata pengumuman terbaru itu.
Dipercayai Hosni akan terus berada di hospital sepanjang tempoh penahanan itu.
Akaun Facebook itu dibuka sebagai cara Kementerian Keadilan berhubung dengan keluarga mangsa pembunuhan dan keganasan sepanjang tempoh 18 hari protes menggulingkan Hosni pertengahan Februari lalu.
Di sebalik siasatan itu, hubungan tentera - yang mentadbir Mesir sejak Hosni disingkirkan - dan penunjuk perasaan menjadi buruk sejak beberapa minggu lalu.
Menurut penunjuk perasaan, siasatan lembap dijalankan. Mereka juga mengecam tentera kerana berbaik-baik dengan rejim lama serta lewat mengheret Hosni untuk dibicarakan ketika beratus-ratus orang awam ditahan di penjara kerana menunjuk perasaan bulan lalu.
Sesetengah mereka dibicarakan di mahkamah tentera. - AP
No comments:
Post a Comment