JERAI 13 April – Meskipun masih bersekolah, dua beradik sanggup menggadai nyawa sehingga melecur teruk untuk menyelamatkan bapa mereka yang bertindak membakar diri sendiri dengan petrol di Kampung Ruat, Yan, di sini hari ini.
Mangsa, Badrul Amin Zinol, 14, dan adiknya, Amirul Hadi, 12, masing-masing melecur 44 peratus dan 32 peratus anggota badan dalam kejadian di rumah mereka pukul 7.15 pagi.
Bapa mereka, Zinol Ismail, 51, yang mempunyai rekod sakit mental dan pernah dua kali menerima rawatan di hospital pula melecur di seluruh badan dan dilaporkan kritikal.
Pemangku Ketua Polis Daerah Yan, Asisten Supritendan Syed Mohd. Nasir Syed Darus berkata, semasa kejadian, dua beradik itu berada di ruang tamu rumah apabila terhidu bau petrol dan asap dari bilik bapa mereka.
Katanya, mereka kemudian menendang pintu bilik tersebut yang berkunci dari dalam dan mendapati bapa mereka sedang dijilat api.
“Mereka cuba menyelamatkan Zinol dan semasa usaha itu, api turut menyambar kedua-duanya. Dua beradik itu saling cuba memadamkan api antara satu sama lain sebelum berlari keluar dari rumah untuk mendapatkan pertolongan jiran,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.
Menurut Syed Mohd. Nasir, dua pelajar berkenaan dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil, manakala bapa mereka yang kritikal dihantar ke Hospital Yan sebelum dirujuk ke HSB.
“Selepas rawatan kali kedua, dia dikatakan enggan lagi ke hospital serta tidak mahu mengambil ubat yang diperlukannya,” katanya yang menyiasat kes mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cuba membunuh diri.
Dalam pada itu, isteri Zinol, Salma Saad, 47, berkata, kebiasaannya, suaminya itu akan menghantar anak kelima mereka, Nurul Ain Farhana, 9, ke sekolah tetapi Zinol enggan berbuat demikian hari ini kerana mengadu letih.
Menurutnya, turut berada di rumah mereka semasa kejadian ialah anak bongsu mereka, Nur Amani Shuhada, 3, tetapi tidak mengalami sebarang kecederaan. Badrul Amin dan Amirul Hadi merupakan anak ketiga dan keempat pasangan itu.
“Ketika dalam perjalanan ke Hospital Yan, suami saya meminta maaf kerana bertindak sedemikian sehingga menyebabkan dua anak kami turut tercedera.
“Saya tidak tahu kenapa dia sanggup bertindak membakar diri dan ia mungkin disebabkan tekanan kerana dalam masa dua bulan ini sikapnya yang ramah dan ceria bertukar kepada pendiam,” katanya.
-Utusan
No comments:
Post a Comment