Tuesday, April 19, 2011

Dua tahun pendam rasa


PASIR MAS: Dia dihantar suami ke sebuah stesen kereta api di Johor Bahru, Johor, pada Jun 2009 lalu dalam keadaan sarat mengandung untuk pulang ke Kampung Binjai Jejawi, di sini, bagi melahirkan anak ketiga.
Bagaimanapun, sehingga hari ini suaminya menghilangkan diri tanpa khabar berita meninggalkannya terkontang-kanting seorang diri membesarkan tiga anak dalam keadaan sengsara apabila mendiami sebuah rumah usang yang asalnya dijadikan pondok simpanan padi.

Begitu nasib malang Che Rohani Che Wail, 26, yang sehingga hari ini buntu mengenai kehilangan suaminya, Ahmad Andy Wahid, 30, kerana mereka tiada masalah, malah menikmati kehidupan bahagia seperti pasangan lain.

Che Rohani berkata, sepanjang hampir dua tahun suaminya menghilangkan diri, dia berusaha mengesan suaminya itu, namun gagal.

“Sepanjang berkahwin, kami menetap di Ulu Tiram, Johor dan saya tidak mengesyaki apa-apa pada suami ketika dia menghantar saya ke stesen kereta api di Johor Bahru untuk saya pulang ke kampung melahirkan anak ketiga pada Jun 2009. “Dia berjanji akan pulang ke kampung selepas saya melahirkan anak ketiga dan saya mempercayainya kerana kami tiada masalah, malah bahagia.

“Bagaimanapun, hampir tiga tahun dia tidak pulang dan menghilangkan diri. Saya cuba menghubunginya, tetapi gagal, malah keluarganya di Kuala Krai, Kelantan juga tidak dapat mengesannya,” katanya.

Menurut Che Rohani, dalam keadaan digantung tidak bertali, dia bersendirian membesarkan tiga anaknya, Ziziey Ezyanie, 7, Zahrul Mukhriz, 5, dan Zahra Balqis Ezyanie, 2, dan mengharapkan simpati keluarga serta saudara-mara untuk meneruskan hidup.

“Tanpa sumber kewangan yang tetap, saya anak-beranak mendiami rumah dipinjamkan seorang sepupu yang asalnya dijadikan pondok simpanan padi. Bekalan elektrik dan tandas pula dipinjam daripada sepupu saya itu.
“Awal tahun lalu, saya terpaksa meminta bantuan sepupu untuk menyekolahkan anak sulung yang bersekolah di tahun satu. Saya menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mengambil upah menoreh, tetapi tidak mencukupi,” katanya.

Che Rohani meminta supaya sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai suaminya supaya menghubungi sepupunya, Anuar Che Leh di talian 013-4491921.

No comments:

Post a Comment