PASIR MAS: Gara-gara terminum cuka getah yang disangka minuman berkarbonat ketika leka berbual, seorang bomoh meninggal dunia selepas empat hari bertarung nyawa di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), akibat kecederaan serius pada organ dalaman, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, Khamis lalu, Lijah Mamat, 88, yang mengalami masalah penglihatan leka berbual bersama kakak iparnya, Siti Hawa Ibrahim, 77, di rumahnya di Kampung Kelar, di sini, sebelum mencapai botol yang disangka minuman berkarbonat kegemarannya.
Menurut anak kedua Lijah, Abdullah Che Wook, 63, ibunya sering menggunakan cuka getah untuk berubat dan disimpan dalam botol.
Katanya, ketika leka berbual, ibunya yang sudah lanjut usia dan mengalami masalah penglihatan mencapai botol terbabit yang disangka berisi air berkarbonat kegemarannya.
“Dia sempat minum seteguk ‘air’ itu. Memandangkan rasanya agak lain, dia meminta kakak iparnya mencuba sebelum meludahnya keluar,” katanya ketika ditemui, semalam.
Abdullah berkata, selepas beberapa minit minum cuka getah itu, darah keluar dari mulutnya menyebabkan anaknya, Rosmizan, 19, membawanya ke Klinik di Kangkong, di sini.
“Ibu terus dirujuk ke Hospital Lati, Pasir Mas dan berikutan keadaannya yang semakin membimbangkan, pada hari sama dia dirujuk ke HRPZII.
“Ketika dirawat di HRPZ11, ibu muntah darah dan najisnya juga berdarah,” katanya.
Menurut Abdullah, selepas empat hari bertarung nyawa, ibunya meninggal dunia pagi semalam.
“Ibu meninggal dunia kira-kira jam 6.30 pagi tadi (semalam) di hospital sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kelar Tok Pukan jam 4 petang tadi (semalam),” katanya. Dalam kejadian itu, Siti Hawa turut cedera pada bahagian bibir selepas Lijah memintanya mencuba ‘air’ berkenaan.
Dia yang turut dirawat di HRPZII bagaimanapun sudah dibenarkan keluar, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim, ketika dihubungi, sehingga petang semalam, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.
No comments:
Post a Comment