Tuesday, April 19, 2011

Pramugari wajib belajar kung fu


HONG KONG: Syarikat penerbangan Hong Kong Airlines mewajibkan semua kru pesawatnya mempelajari seni bela diri kung fu bagi menghadapi kerenah penumpang mabuk atau sukar dikawal.
Akhbar Sunday Morning Post melaporkan, mereka dikehendaki menjalani latihan seni bela diri wing chun yang sesuai menumpaskan seseorang dalam jarak dekat.

Menurut Timbalan Pengurus Besar Hong Kong Airlines, Eva Chan, syarikat berkenaan berdepan tiga insiden kekecohan membabitkan penumpang liar setiap minggu.

Katanya, dua minggu lalu seorang anak kapal terpaksa menggunakan kemahiran seni bela dirinya ketika dalam penerbangan dari Beijing ke Hong Kong.

“Pramugari itu memanfaatkan kemahirannya untuk membantu seorang penumpang berbadan besar yang mabuk,” katanya.

Biasanya, kata Chan, pramugari tidak mampu menguruskan penumpang gemuk, terutama apabila dia mabuk.

Bagaimanapun, katanya, hasil latihan dijalani dalam seni bela diri, pramugari terbabit dapat menjalankan tugasnya dengan mudah.

Sementara itu, pramugari terbabit, Lumpy Tang, berkata dia tidak pernah menyangka perlu menggunakan ilmu kemahiran kung fu ketika bekerja.
Kata Tang, 22, latihan itu mungkin sukar pada peringkat awal tetapi menjadi semakin menyeronokkan kemudian.

“Anda tak boleh menjangkakan apa berlaku dalam pesawat,” katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment