JIKA ditelusuri lipatan memori sejarah, negara kita amat dikenali sebagai negara yang mementingkan peradaban dan tatasusila dalam sosial kehidupan masyarakat. Hal ini bukan perkara baru yang perlu diungkit lagi kerana sejarah telah membuktikan rumpun bangsa dan etnik yang pelbagai bukan penghalang kepada pembentukan tingkah laku dan akhlak yang murni.
Lihat saja betapa kerjasama, tolak ansur serta nilai-nilai murni yang sebati dalam diri pelbagai kaum telah menyatukan mereka hingga membawa kepada kemerdekaan tanah air. Kesinambungan daripada inilah yang membawa kepada wadah 1Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Namun, satu hal yang amat merisaukan masyarakat hari ini adalah kerapuhan akhlak dan moral remaja. Kita mungkin hanya mampu menggelengkan kepala apabila mendengar dan melihat percakapan dan tingkah laku mereka. Akan tetapi, adakah itu sudah cukup bagi kita untuk melunaskan tanggungjawab kita sebagai khalifah-Nya di muka bumi ini?
Tentu sekali tidak. Tanggungjawab kita adalah untuk meluruskan mereka supaya akhlak mahmudah yang diwarisi daripada para anbia’ dan sahabat akan sentiasa menjadi contoh teladan remaja ini.
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w adalah sebaik-baik manusia yang memiliki akhlak yang terpuji. Malah, akhlaknya diumpamakan seperti al-Quran.
Remaja hari ini, meskipun tinggal di kampung atau kawasan pedalaman, tetapi budi bahasa mereka sungguh luar biasa biadap dan tidak beradab. Apa yang menyedihkan, remaja perempuan tidak kurang hebatnya, malah kadang-kadang lebih dahsyat daripada remaja lelaki.
Paling merunsingkan adalah mereka ini datangnya daripada keluarga yang berakar umbikan ajaran Islam. Datuk, nenek, ibu, bapa dan seluruh kaum keluarga semuanya mengaku Islam, tetapi apa yang diucapkan tidak sama dengan apa yang dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
Berdasarkan pengalaman yang dilihat sendiri oleh penulis, ada ibu bapa seolah-olah bangga dengan tingkah laku anak-anak remaja mereka. Mereka hanya membenarkan saja setiap patah perkataan jelek keluar daripada mulut anak-anak mereka tanpa bantahan.
Ungkapan ‘bodoh’, ‘gila’ dan pelbagai lagi kata-kata buruk dan kadang-kadang membawa kepada mencarut sudah menjadi makanan rutin bagi mereka. Kalau ibu bapa sendiri mengiyakan saja hal ini berterusan, maka jadilah ibu bapa ini seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan.
Bukan setakat percakapan saja, pakej akhlak mereka ini lengkap dengan tindak tanduk dan tingkah laku juga. Kita sering mendengar seseorang itu akan dinilai dengan siapa mereka berkawan. Jika dengan orang baik dan berbudi pekerti mulia, maka jadilah mereka orang yang baik dan berakhlak.
Jika tidak, sebaliknya akan berlaku. Anak-anak muda Islam kini seolah-olah sudah hilang sifat malu dalam diri mereka. Bertepuk tampar dan berpegangan tangan sesama lelaki dan perempuan yang bukan mahram sudah lumrah dilihat pada hari ini.
Stigma seperti ini seolah-olah adat biasa dan masyarakat hanya membenarkan saja ia terus berlarutan. Sedangkan dalam hadis Nabi s.a.w jelas menyatakan bahawa sifat malu itu sebahagian daripada iman. Wahai anak-anak muda! Jika sifat malu sudah hilang, bagaimana pula dengan iman anda? Tepuk dada, tanya diri sendiri!
Seluruh masyarakat sememangnya sudah arif dan tahu, bahawa daripada percakapan dan tingkah laku mazmumah inilah yang akan membawa kepada pelbagai masalah sosial yang tidak pernah surut dipaparkan di media masa.
Berita penagihan dadah, rogol, zina, khalwat, buang bayi, samseng, buli dan segala macam lagi terkadang menjadikan kita muak dan malas untuk mengambil tahu mengenainya.
Walau bagaimana busuk dan jijik sekalipun hal tersebut, kita tidak boleh lari daripada mendepaninya dan harus berusaha untuk memulihkannya.
Institusi keluarga dilihat sebagai penyumbang utama kepada penyelesaian masalah ini. Didikan awal yang sempurna yang berteraskan amar makruf nahi mungkar pasti boleh menjadi perisai kebal daripada terjebak dengan gejala ini.
Kadangkala, seseorang anak itu juga boleh terjerumus ke kancah negatif meskipun sudah dididik dengan sempurna. Bagaimana hal ini boleh terjadi? Ini disebabkan kurangnya atau mungkin tiada langsung pemantauan dan pengawasan yang berterusan daripada keluarga.
Justeru, anak-anak ini perlu ditarbiah sejak kecil lagi tentang peri pentingnya mengenal Allah al-Khaliq. Jika ketaatan kepada Rabbul Jalil sudah sebati dalam diri mereka, insya-Allah mereka tidak akan melakukan kemungkaran walau di mana mereka berada. Di mana bumi dipijak, di situ agama tetap akan dijunjung.
Komuniti masyarakat sama ada melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun kelompok orang perseorangan juga penting dalam menyelesaikan kemelut ini. Sedikit masa dulu, kerajaan memperkenalkan Program Rakan Muda yang mensasarkan remaja dan belia sebagai sumber utama dalam pelaksanaan aktiviti yang dirancang dan terdapat pelbagai kategori aktiviti di bawah label ini.
Antaranya Rakan Sukan dan Rakan Waja Diri. Ternyata program ini mendapat sambutan menggalakkan dan memberi impak maksima pada remaja ketika itu. Namun, selepas hampir sedekad berlalu, aktiviti tersebut seakan-akan sepi dan terkubur begitu saja.
Kita semua amat berharap agar program tersebut akan terus dilaksanakan. Mungkin kita memerlukan sedikit penjenamaan semula terhadap program berkenaan agar ia terus memberi manfaat kepada golongan belia dan remaja.
Penggiat seni tanah air terutama pengeluar drama dan filem juga turut memberi impak dalam kehidupan sosial golongan remaja. Lambakan drama dan filem yang berkisar masalah sosial hari ini seakan-akan memberi inspirasi kepada golongan remaja ini untuk mencuba melakukan adegan yang dipaparkan.
Bukan menyalahkan penerbit dan pengarah kerana tujuan mereka adalah untuk memaparkan realiti sebenar keadaan masyarakat dan ia diharapkan dapat dijadikan iktibar dan teladan bagi golongan muda ini.
Tetapi, kita harus ingat bahawa pengaruh media massa ini terlalu besar kepada masyarakat. Ini kerana, setiap apa yang dipaparkan akan menjadi ikutan sama ada dari sudut positif mahupun negatif.
Tahun 2009 menyaksikan ramai ingin menjadi seperti Nur Amina mahupun Ustaz Aidil kerana tertarik dengan peribadi dan akhlak mulia mereka dalam drama bersiri yang amat popular, Nur Kasih.
Penangan drama ini menjadi satu fenomena di seluruh negara pada ketika itu. Syukur, ini sesuatu yang baik kerana melalui drama yang penuh kasih sayang ini, ia boleh mempengaruhi masyarakat serta dapat menjentik jiwa golongan muda untuk meniru akhlak mahmudah.
Kesimpulannya, peranan kita sebagai seorang insan di atas muka bumi ini cukup besar. Jika kita seorang anak, kita harus bijak membawa diri dan memilih jalan betul untuk ditempuhi agar tidak tersungkur di kemudian hari.
Jika kita seorang ibu atau bapa, kita bertanggungjawab untuk mengajar, mendidik dan membimbing mereka mengikut lunas-lunas agama yang secukupnya agar kita tidak akan ditanya ‘di sana’ nanti.
Jika kita hanya pemerhati dalam masyarakat, kita juga turut berperanan untuk membetulkan kekhilafan yang sedang melanda jiwa golongan muda ini. Meskipun kita tidak mampu untuk merubah keseluruhannya, cukuplah kita iringkan sepotong doa kepada-Nya supaya golongan ini diberikan hidayah dan kembali ke jalan yang lurus.
No comments:
Post a Comment