JOHOR BAHRU: Seorang lelaki rakyat Malaysia disahkan meninggal dunia di hospital dekat Pulau Batam, Indonesia selepas tiba di pulau terbabit bersama pembantu rumahnya yang juga warga republik itu Jumaat lalu.
Mohd Shukor Wahab, 23, dikatakan pergi ke pulau berkenaan bersama pembantu rumah keluarganya, Teratai Abidin, 41, dan tiba di pulau itu pada hari yang sama.
Bagaimanapun, tujuan sebenar mereka ke pulau terbabit masih belum diketahui dan difahamkan arwah menghadapi masalah kesihatan sebaik tiba di pulau itu dan dikejarkan ke Rumah Sakit Harapan Bonda, Batam bagi mendapatkan rawatan kecemasan.Menurut sumber pejabat Konsulat Malaysia di Pekan Baru, arwah mendapatkan rawatan kecemasan di hospital itu namun disahkan meninggal dunia jam 10.10 malam waktu tempatan (9.10 malam waktu Malaysia).
Katanya, pembantu rumah berkenaan yang mengaku ibu saudara mangsa, melarang bedah siasat dilakukan terhadap arwah dan punca kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Pihak berkuasa Malaysia kini berusaha menguruskan pelbagai dokumen untuk urusan pengebumian jenazah di pulau berkenaan.
“Jika sempat, jenazah akan dikebumikan di Sekupang, Batam hari ini (semalam) atau esok (hari ini), namun semuanya bergantung pada kelulusan pihak berkuasa tempatan.
“Buat masa ini, kami masih belum menghubungi keluarganya di Malaysia kerana ibu saudaranya sebagai wakil keluarga ada di Batam,” katanya.
Difahamkan Mohd Shukor dan Teratai tiba di Batam menerusi Terminal Batam Center, Jumaat lalu, sebelum mendapatkan rawatan kecemasan pada malam sama.
Katanya, pihaknya masih belum pasti tujuan sebenar kehadiran mereka dan mengatakan siasatan awal mendapati arwah tiada saudara mara lain di pulau itu.
Sementara itu, tinjauan di rumahnya berdasarkan alamat di kad pengenalannya dekat Batu Pahat, mendapati keluarganya sudah berpindah sejak beberapa tahun lalu.
Difahamkan, mangsa sudah berkahwin dan bekerja sebagai nelayan.
No comments:
Post a Comment