GUNUNG KERIANG - Penduduk sekitar kawasan pusat rekreasi di sini digemparkan dengan penemuan pokok yang dipercayai menyerupai wajah manusia.
Pokok yang dikenali dengan ‘pokok sabun’ oleh masyarakat setempat itu dipercayai menyerupai bentuk wajah manusia sejak seminggu lalu dan dikatakan menjadi lokasi aktiviti pemujaan.
Pengunjung, Muhammad Azwan Mansor, 24, berkata, pengunjung tidak dapat melihatnya secara jelas melalui mata kasar malah, mereka perlu mengambil gambar dan objek itu akan kelihatan lebih jelas menerusi gambar yang diambil.
Menurutnya, pelbagai andaian yang dibuat apabila melihat wajah yang timbul pada bahagian pemeluk pokok itu namun, terpulang kepada kepercayaannya masing-masing.
“Ada yang menyatakan ia sekadar ukiran namun, bagi saya ia mungkin terbentuk daripada rekahan kulit pokok itu sendiri,” katanya.
Penduduk, Mohd Tazri Seman, 30, berkata, sebelum ini taman rekreasi itu menjadi tumpuan pengunjung pada sebelah petang namun, sejak berlakunya kejadian itu kawasan berkenaan sentiasa dikunjungi tanpa mengira waktu.
Menurutnya, mereka yang tidak bertanggungjawab pula menjadikan pokok itu sebagai lokasi pemujaan mendapatkan nombor ekor.
“Mereka yang tidak bertanggungjawab akan datang pada waktu malam untuk pemujaan pokok ini bagi mendapatkan nombor ekor.
“Perkara ini jelas dapat dilihat apabila adanya kesan lilin yang cair di kawasan ini dan beberapa peralatan pemujaan termasuklah colok yang dibakar serta diletakkan di kawasan pokok,” katanya kepada Sinar Harian.
Pengunjung, Hamzah Omar, 57, berkata, sebelum ini tiada siapa yang sedar mengenai kejadian aneh yang berlaku pada pokok itu namun, ia mula tersebar dari mulut ke mulut.
Menurutnya, aktiviti pemujaan tidak sepatutnya berlaku di kawasan itu kerana ia hanyalah sebatang pokok yang sama dengan pokok yang lain di kawasan sekitar.
Menurutnya, apabila perkara itu berlaku, pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) diharap mengambil perhatian bagi mengelak aktiviti itu berleluasa.
“Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana kita bimbang mereka yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan kawasan ini dengan mengadakan aktiviti pemujaan.
“Walaupun pokok ini berbeza dari pokok lain namun, pengunjung tidak seharusnya melakukan pemujaan kerana ia bertentangan dengan agama,” katanya.
Pengunjung, Zakaria Ahmad, 56, berkata, Jaik perlu membuat pemantauan segera bagi mengelak lebih ramai yang datang untuk melakukan pemujaan.
Menurutnya, perkara seperti itu perlu dielakkan supaya pengunjung tidak menganggap pokok itu mampu menunaikan hasrat mereka.
No comments:
Post a Comment