Monday, April 25, 2011

Sepantas kilat, mereka tiba di lokasi



SELAIN kecuaian, kemalangan yang berlaku juga berkemungkinan disebabkan terdapatnya 'perangkap' seperti paku, minyak atau pasir yang diletakkan di atas jalan oleh pihak tidak bertanggungjawab. - Gambar hiasan


KISAH 1:
FARIZ Fikri, 23, pernah mengalami pengalaman membabitkan sikap biadab dan kasar pemandu trak tunda apabila terbabit dalam kemalangan setelah terlanggar sebuah kereta di hadapannya.
Kemalangan itu menyebabkan keretanya gagal dihidupkan dan pada masa sama, dia menghubungi pak ciknya yang juga seorang anggota polis untuk membantu.
Tidak sampai lima minit, dua buah kereta yang dipercayai runner tiba sambil membawa walkie-talkie.
''Mereka bertanya dengan nada keras kereta saya boleh bergerak atau tidak dan apabila dijawab tidak, serta-merta mereka menolaknya ke bahu jalan.
''Dengan cara mengugut, mereka terus menawarkan khidmat tunda kereta ke bengkel panel insurans dengan caj yang murah tetapi saya tidak bersetuju kerana mahu menunggu pak cik terlebih dahulu," katanya.
Bagaimanapun keadaan kembali terkawal apabila pak ciknya datang dengan kereta polis.
KISAH 2:
PENGALAMAN buruk itu juga pernah dialami seorang gadis, Lili Ahmad, 26, apabila terlibat dalam satu kemalangan baru-baru ini.
Hujan renyai-renyai menyebabkan permukaan jalan raya menjadi licin dan agak sukar untuk memberhentikan kereta serta-merta.
Tiba-tiba kenderaan di hadapannya berhenti mengejut, menyebabkan kereta dipandunya gagal berhenti walaupun telah membrek.
''Selang beberapa minit, datang sebuah trak tunda yang menawarkan perkhidmatan menunda kereta untuk dihantar ke bengkel.
''Pada mulanya saya enggan menerima tawaran itu kerana mahu menunggu abang datang tetapi gagal menghubunginya," kata Lili.
Dalam keadaan trauma dan panik, Lili terpaksa menerima tawaran itu kerana tidak mahu lama berada di tempat kejadian.
Akibatnya, dia bukan sahaja dikenakan caj yang tinggi malah keretanya terpaksa berada di bengkel itu selama sebulan kerana kekurangan pekerja.
KISAH 3:
SEORANG pemandu yang hanya mahu dikenali sebagai Jidin, 27, pernah menghadapi satu kejadian hampir meragut nyawanya ketika pulang ke kampung di Terengganu melalui Lebuh Raya Karak pada cuti persekolahan baru-baru ini.
''Cuaca pada hari itu baik, kereta yang baru diservis juga meyakinkan saya untuk memandu dengan kelajuan 100 kilometer sejam.
''Tiba-tiba kereta saya hilang kawalan sebelum berhenti di tepi jalan. Apabila memeriksanya, saya mendapati terdapat tumpahan minyak yang agak banyak di kawasan tersebut," katanya.
Tidak lama selepas itu, beliau didatangi sebuah kereta dengan dua orang lelaki bertanyakan keadaan keretanya.
''Mujur kejadian itu tidak meragut nyawa saya. Tetapi yang jelas ini menunjukkan memang ada pihak dengan sengaja meletakkan minyak gris ke atas jalan bagi tujuan mengaut keuntungan tanpa memikirkan keselamatan pengguna,'' ujarnya.
Jidin berpendapat trak-trak tunda wajar diharamkan dari memasuki lebuh raya dan penyelenggara lebuh raya itu perlu menyediakan perkhidmatan trak tunda bagi mengelakkan kejadian serupa berulang pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment