Tuesday, April 5, 2011

Noor Aishah guna jari kaki menulis, buat bakul




NOOR Aishah Ariffin (kanan) menunjukkan kebolehan menulis menggunakan jari kaki sambil disaksikan oleh Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kuala Krau, Datuk Redzwan Harun di Kuala Krau, Pahang, baru-baru ini.


KUALA KRAU 4 April - Seorang insan istimewa membuktikan kecacatan tanpa memiliki kedua belah tangan sejak dilahirkan bukan penghalang untuk berjaya apabila memiliki kebolehan menghasilkan kraf tangan berkualiti dengan menggunakan jari kaki.
Selain itu, Noor Aishah Ariffin, 23, dari Felda Jengka 22 dekat sini turut mempunyai kebolehan menulis dan menaip papan kekunci komputer menggunakan jari kakinya itu.
Katanya, dia berusaha memajukan diri menggunakan jari kaki sejak usia enam tahun semasa belajar di sekolah agama rakyat di sini.
"Saya hanya belajar tulisan jawi secara formal ketika belajar di sekolah tersebut manakala abang dan kakak membantu saya menulis tulisan rumi," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di sini baru-baru ini.
Noor Aishah juga mampu menghasilkan bakul kertas setanding dengan individu normal lain.
Katanya, dia mempelajari kraftangan itu di kelas Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Felda Jengka 21 pada usia 17 tahun.
"Kebanyakan produk saya dijual secara dalam talian menerusi www. bakulkertasku.blogspot.com yang mendapat permintaan di dalam dan luar negara," jelasnya.
Dia berharap ada pihak yang akan memberi peluang kepadanya untuk melanjutkan pengajian sama ada dalam bidang jahitan atau komputer selari dengan perkembangan semasa.
Utusan Malaysia Online - Pahang

No comments:

Post a Comment