Tuesday, April 5, 2011

Pak Ya hidup 'sebatang kara' sepanjang usia




SHAHANIM Mohd. Yusof (dua dari kiri) melihat keadaan Yahya Said (kanan) yang hidup sebatang kara di Kampung Haji Kudong, Kota Kuala Muda, Sungai Petani baru-baru ini.


SUNGAI PETANI 4 April - Renungan matanya yang sayu membayangkan betapa derita dan sunyi hatinya kerana terpaksa menjalani kehidupan tanpa ditemani ahli keluarga.
Namun, di sebalik wajah tuanya itu, tersembunyi kecekalan hati untuk mengharungi sisa-sisa usia yang masih berbaki.
Bagi Yahya Said, 75, dari Kampung Haji Kudong, Kota Kuala Muda di sini, hidup perlu diteruskan walaupun keadaan dirinya sering kali memaksa dia menagih simpati daripada jiran tetangga.
"Saya terpaksa tabahkan hati hidup begini kerana tiada sanak-saudara tempat bergantung. Sekarang menumpang di tanah orang," katanya ketika ditemui pemberita semasa dikunjungi oleh Naib Ketua Puteri UMNO, Shahanim Mohd. Yusof di sini baru-baru ini.
Menurut Yahya, dia kini hidup 'sebatang kara' kerana tidak pernah berkahwin sepanjang usianya.
Lebih malang, kesihatan Yahya juga tidak menentu lebih-lebih lagi dia menghidap penyakit lelah.
Tetapi, itu bukan alasan untuk dia berpeluk tubuh. Warga emas itu menyara diri dengan mengambil upah mengutip kelapa penduduk berdekatan.
"Upah kutip kelapa tidaklah banyak, tapi cukup untuk makan minum. Hendak kerja berat pun tak boleh, umur dah tua, badan tak berapa larat," ujarnya.
Yahya mendakwa, dia pernah didatangi oleh kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk temuramah bagi memohon bantuan.
Namun, katanya, sehingga kini tiada sebarang maklum balas diterima.
Sementara itu, Shahanim yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Sungai Petani berkata, pihaknya akan membantu Yahya mendapatkan bantuan bulanan JKM secepat mungkin.
Utusan Malaysia Online - Utara

No comments:

Post a Comment