KUANTAN 4 April – Polis digesa melakukan siasatan segera terhadap kes kematian seorang murid tahun satu sebuah Sekolah Agama Rakyat di Jejawi, Perlis yang meninggal dunia dipercayai akibat dipukul oleh gurunya semalam.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, perbuatan itu tidak boleh dimaafkan kerana cara mendidik pelajar sekolah perlu mempunyai kaedah yang betul.
“Saya berharap polis bertindak segera dan mereka yang didapati terlibat atas perbuatan itu perlu dihukum mengikut undang-undang,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Semalam, murid yang dikatakan dipukul oleh seorang guru di asrama sekolag agama rakyat sehingga koma Khamis lalu meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, disahkan meninggal dunia pada pukul 8.50 pagi semalam sejak dimasukkan ke hospital itu Jumaat lalu.
Kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 7 malam Khamis lalu apabila seorang guru lelaki yang berusia 26 tahun dikatakan telah memukul kanak-kanak tersebut selama dua jam sehingga pengsan.
Shahrizat berkata, kerajaan memandang serius perkara itu kerana kejadian tersebut tidak sepatutnya berlaku sama ada di rumah atau sekolah.
No comments:
Post a Comment