Saturday, May 14, 2011

Adakala terbuai bisikan syaitan



KARTIKA berkongsi kesedihan bersama Wann Kaitlynn ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Jawang, Sungai Siput, semalam. Gambar kecil, KENANGAN manis Kartika bersama Mohamad Azfar.
KARTIKA berkongsi kesedihan bersama Wann Kaitlynn ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Jawang, Sungai Siput, semalam. Gambar kecil, KENANGAN manis Kartika bersama Mohamad Azfar.

Kartika reda hilang anak istimewa

SUNGAI SIPUT: "Ya Allah... apa lagi dugaan-Mu terhadap diri ini. Mengapa satu persatu dugaan yang perlu ditempuh,” rintih Kartika Sari Dewi Shukarnor, 34, yang kehilangan anak sulungnya, Mohamad Azfar Muhammad Affandi, 9, akibat lemas di Sungai Perak, Ahad lalu.
Begitulah nasib bekas model itu yang kehidupannya boleh dianggap bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga selepas tragedi yang meragut nyawa anak kesayangannya yang dipercayai terjatuh ke dalam sungai berdekatan inap desa milik keluarganya di Kampung Jawang Utara, di sini, baru-baru ini.
“Kadangkala saya kalah pada perasaan sehinggakan terbuai dengan bisikan syaitan yang sentiasa ingin melemahkan saya,” kata ibu tunggal itu yang pernah menggemparkan negara dengan hukuman sebat yang dikenakan terhadapnya kerana kesalahan minum arak, dua tahun lalu.

Bagi Kartika, kehilangan Mohamad Azfar dugaan paling berat ditanggungnya setakat ini kerana kematian anak istimewa itu meragut sebahagian besar jiwanya.

“Hati ibu mana tidak rawan apabila terpaksa menerima hakikat kehilangan anak kesayangan apatah lagi anak istimewa seperti Muhammad Azfar akibat lemas,” katanya kepada Berita Harian.

Baginya, kenangan manis bersama Mohamad Azfar kekal dalam memorinya dan beliau berazam menguatkan semangat meneruskan kehidupan bersama seorang lagi anaknya, Wann Kaitlynn Saridewi, 7; ibu bapanya, Shukarnor Abdul Mutalib, 62, dan Wan Badariah Meor Abdul Salim, 58, serta sanak saudara yang lain.
Kisah sedih itu juga menyebabkan Kartika membulatkan tekad terus menetap di kampung keluarganya dan mengusahakan perniagaan inap desa Lang Buana River Lodge.

“Ini janji saya kepada Mohamad Azfar. Sebelum pemergiannya, Mohamad Azfar berpesan supaya sentiasa berada di sisinya,” katanya.

Mengimbau dugaan dan pengalaman pahit ketika kontroversi hukuman sebat ke atasnya dikenakan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan atas kesalahan meminum minuman keras di Pahang pada 2008, Kartika mengakui ia bukan sesuatu yang mudah dilaluinya.

“Semua ini ketentuan Allah SWT. Saya dibalas kerana terleka serta memandang ringan soal agama meskipun sudah dididik supaya menjauhi arak. Jika saya tidak ditangkap, mungkin saya masih hanyut dalam keseronokan dunia.

“Saya akan terima hukuman di dunia. Hukuman di akhirat kelak biar Allah yang menentukannya. Saya menghormati keputusan mahkamah dan mengaku itu kesalahan saya, bukan kesalahan ibu bapa atau orang lain,” luahnya.

Ditanya status dirinya selaku ibu tunggal, Kartika berkata, soal jodoh ditentukan Ilahi.

“Bohong jika saya mengatakan tiada yang ‘mengusik’. Malah saya ada menerima permintaan dijadikan teman hidup selepas saya berpisah dengan bekas suami. Namun, pelbagai episod hitam menyebabkan saya berfikir seribu kali untuk terima permintaan itu,” katanya. -bharian

No comments:

Post a Comment