Saturday, May 14, 2011

‘Yang pergi harus bertanda’


SENAWANG: Usaha mencari Nur Shaza Shakinah Said Ahmad, 2, yang hilang dihanyutkan arus deras di Hutan Lipur Ulu Bendul, di sini, dihentikan sementara esok.
Ibu mangsa, Wan Azlela Wan Abdullah, 33, berkata walaupun memasuki hari ke-11, semalam, mereka sekeluarga tidak berputus asa meneruskan pencarian kerana yakin usaha akan membuahkan hasil apatah lagi semua ahli keluarga termasuk rakan membantu mengesan jasad anak bongsunya itu.

“Saya yakin kami akan menemuinya dalam apa juga cara sekali pun, cuma memerlukan kesabaran. “Namun, disebabkan kekangan masa kerana ada yang bekerja, kami terpaksa menghentikan operasi mencarinya.

“Tidak bermakna operasi ini dihentikan, saya akan mencarinya, sekiranya mempunyai masa lapang, saya akan ke sungai berkenaan mencari anak bongsu saya.

“Ini kerana setiap yang pergi harus ‘bertanda’,” katanya.

Wan Azlela berkata, dia tabah melalui kehidupan ini jika itu sudah suratan takdir dalam hidupnya.


“Saya reda jika ini ketentuan Tuhan untuk saya, namun saya tidak akan berputus asa mencari adik (Nur Shaza Shakinah) sehingga dapat, bagaimana rupa jasadnya nanti saya terima dengan reda,” katanya.

Katanya, dia cuba mendapatkan anaknya Muhamad Adib Norazman, 11, yang kini di bawah jagaan bekas suami pertamanya.
“Saya akan cuba dapatkan hak penjagaan anak saya, hanya dia sumber kekuatan yang saya ada sekarang, disebabkan itulah saya meminta bantuan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mendapatkan semula anak lelaki saya itu,” katanya.

Sementara itu, Khairy ketika ditemui dalam lawatan itu berkata, dia akan cuba membantu keluarga Wan Azlela mendapatkan semula anak itu.

“Kami akan cuba bantu dia (Wan Azlela) sekiranya suami pertamanya itu tiada hak penjagaan anak itu,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan tiga beradik hilang akibat fenomena ‘kepala air’ di Sungai Ulu Bendul dalam kawasan Hutan Lipur Ulu Bendul, dekat sini, menyebabkan mereka dihanyutkan arus deras ketika mandi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Norshaza Alisa, 5, Norshaza Azira, 4, dan Norshaza Shakinah, 2, mandi bersama bapa mereka, Syed Ahmad Ibrahim, 28, dan seorang rakan wanitanya dikenali sebagai Alwani Abu Hasan, 20-an. Mereka dipercayai tidak sempat naik ke tebing apabila air sungai dari kawasan Gunung Angsi melimpah lalu menghanyutkan tiga beradik bersama bapa dan rakan wanitanya.-mymetro

No comments:

Post a Comment