Thursday, May 26, 2011

Anak kudung jaga ayah uzur


DAIF...Ismail yang uzur terpaksa dipangku cucunya, Mazlan sementara Habsah menyuapkan air.
DAIF...Ismail yang uzur terpaksa dipangku cucunya, Mazlan sementara Habsah menyuapkan air.


PELABUHAN KLANG: Dia dikatakan antara peneroka terawal Kampung Sungai Pinang dekat Pulau Indah, di sini, bagaimanapun kini hidupnya hanya terbaring di kediaman yang amat uzur.
Oleh Amir Abd Hamid amir@hmetro.com.my Begitulah nasib warga emas, Ismail Ahmad, 97, yang hanya mampu terbaring selepas diserang angin ahmar kira-kira tujuh bulan lalu. Lebih menyedihkan, anak perempuan yang menjaganya, Habsah Ismail, 57, kudung kedua-dua belah kaki daripada pangkal peha sejak dilahirkan.

Ketika wartawan serta jurufoto berkunjung ke rumahnya semalam, situasi menyayat hati dapat dilihat apabila Ismail yang tidak mampu bertutur dengan jelas terpaksa dipangku Habsah dan cucu warga emas itu untuk meneguk minuman.

Habsah berkata, lebih pilu apabila hujan lebat, bumbung tempat Ismail berbaring bocor menyebabkan dia sekeluarga terpaksa menakung air di sekitar tilam bapanya itu.

Selain Habsah dan bapanya, rumah usang yang dibina semasa Ismail masih muda itu turut didiami anak Habsah iaitu Mazlan Mohd Yunus, 27, dan Zulkifli, 26.


Malang bertimpa apabila Mazlan menghidap penyakit jantung menyebabkan dia tak mampu bekerja dan keluarga itu terpaksa bergantung harap kepada Zulkifli dengan pendapatan kira-kira RM800 sebulan.

“Saya amat berharap orang ramai sudi membantu daripada segi kewangan untuk membaiki rumah kami. Sebelum ini memang saya pernah bekerja sebagai pembantu kedai jahit, namun sekarang sudah tak upaya.

“Dulu saya kuatkan hati berjalan guna kedua-dua belah tangan untuk bekerja tetapi sekarang tak boleh, lebih-lebih lagi ayah yang uzur perlu dijaga setiap masa. Sedih betul lihat ayah yang juga antara peneroka awal di tempat ini,” kata Habsah yang diceraikan suami lima tahun lalu.

Menurutnya pada masa ini, dia menerima bantuan sebanyak RM150 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun wang sebanyak itu hanya boleh dihabiskan untuk belanja dapur mereka empat beranak.

“Apa yang penting sekarang, rumah ini perlu dibaiki. Kami tak dapat nak kumpul wang bagi tujuan itu dan diharapkan orang ramai dapat membantu kami.


“Sekurang-kurangnya apabila rumah dibaiki, hidup ayah saya yang kini tak dapat melihat dan bangun akan lebih selesa,” katanya.


Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Mazlan di 017-333 1202 atau ke rumah mereka di Lot 7395, Kampung Sungai Pinang, 42920 Pulau Indah, Pelabuhan Klang.
myMetro | Anak kudung jaga ayah uzur

No comments:

Post a Comment